KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mempertimbangkan secara teliti sebelum menerima cadangan beberapa negara supaya negara ini menjadi pengerusi bersama The Hague Group dengan Afrika Selatan, berikutan kekangan perundangan dan statusnya yang bukan pihak kepada konvensyen antarabangsa berkaitan.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sebarang pertimbangan untuk menerima peranan sebagai pengerusi bersama turut melibatkan persoalan penyertaan Malaysia dalam instrumen perundangan antarabangsa, termasuk Statut Rom, yang menurutnya berpotensi menimbulkan percanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata cadangan itu dikemukakan susulan penglibatan aktif Malaysia dalam kumpulan berkenaan, yang menjadi antara platform antarabangsa untuk meningkatkan tekanan terhadap Israel berhubung isu Palestin.
“Ini perlu dipertimbangkan secara berhati-hati kerana nombor satu, Malaysia bukan pihak kepada konvensyen. Jadi kita tak bolehlah jadi pengerusi bersama. Kita jadi penaja bersama bolehlah kerana banyak kekangan. Jadi adalah memadai setakat hari ini, kita menjadi penaja bersama dan sebagai penaja utama,” katanya.
Mohamad berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan tambahan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) berhubung usaha Malaysia meningkatkan tekanan antarabangsa terhadap Israel susulan konflik di Palestin.
Beliau berkata Malaysia turut bertindak sebagai penaja bersama dengan Afrika Selatan ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini bagi meningkatkan tekanan terhadap Israel, termasuk membawa perkara itu ke peringkat Majlis Keselamatan PBB.
Sementara itu, Mohamad berkata sokongan masyarakat antarabangsa terhadap perjuangan Palestin semakin meningkat, termasuk dalam kalangan negara yang sebelum ini mempunyai hubungan rapat dengan Israel.
Beliau berkata kira-kira 160 negara kini menyokong usaha membolehkan Palestin diterima sebagai anggota PBB, sekali gus mencerminkan perubahan pendirian masyarakat antarabangsa terhadap isu berkenaan.
Malaysia pula, katanya tidak pernah berganjak daripada pendirian tegas memperjuangkan hak rakyat Palestin, malah terus lantang menyuarakan isu itu melalui pelbagai platform antarabangsa termasuk PBB, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), ASEAN dan forum multilateral lain.
Mohamad berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga konsisten membangkitkan isu Palestin dalam pertemuan dengan pemimpin dunia serta persidangan antarabangsa termasuk BRICS dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
Dalam pada itu, beliau menegaskan Malaysia terus mendesak penstrukturan semula Majlis Keselamatan PBB, khususnya bagi mengehadkan penggunaan kuasa veto yang disifatkan menjadi penghalang kepada usaha menyelesaikan konflik Palestin.
Beliau berkata sokongan majoriti negara terhadap resolusi berkaitan Palestin tidak membawa hasil yang diharapkan sekiranya keputusan berkenaan terus disekat melalui penggunaan kuasa veto oleh anggota tetap Majlis Keselamatan PBB.
“Yang perlu kita lakukan adalah menstrukturkan semula Majlis Keselamatan PBB supaya kuasa veto ini tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya,” katanya.
Mengenai bantuan kemanusiaan, Mohamad berkata sumbangan rakyat Malaysia melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin di bawah Kementerian Luar disalurkan kepada rakyat Palestin menerusi saluran yang dipercayai.
Beliau berkata bantuan itu disalurkan antaranya melalui Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) serta pertubuhan bukan kerajaan bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang memerlukan.
-- BERNAMA