PUTRAJAYA: Malaysia dan Thailand bersetuju secara prinsip untuk menyemak semula Memorandum Persefahaman (MoU) 2003 mengenai Kerjasama Buruh bagi memodenkan rangka kerja yang mengawal selia pengambilan dan penempatan pekerja.
Persetujuan itu dicapai dalam pertemuan dua hala antara Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan dan Menteri Tenaga Kerja Thailand Julapun Amornvivat di sela-sela Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh ASEAN (ALMM) ke-29 di Bangkok pada Khamis.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan dalam perbincangan itu, kedua-dua menteri pada prinsipnya bersetuju untuk menyemak semula MoU 2003 mengenai Kerjasama Buruh.
“Semakan yang dirancang itu bertujuan mewujudkan perjanjian yang dimodenkan dan disesuaikan dengan tuntutan ekonomi semasa, meningkatkan standard kebajikan pekerja serta memperkemas mekanisme pengambilan pekerja Thailand di Malaysia,” menurut kenyataan itu.
KESUMA memaklumkan kedua-dua menteri telah memberi kuasa kepada pegawai daripada kementerian masing-masing untuk mengadakan mesyuarat teknikal bersama bagi merundingkan peruntukan khusus dan memuktamadkan MoU baharu itu.
“Kedua-dua menteri turut membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), dengan mengiktiraf kepentingannya dalam membangunkan tenaga kerja berkemahiran, mampu menyesuaikan diri dan bersedia menghadapi keperluan masa depan di kedua-dua negara.
“Malaysia dan Thailand mengenal pasti bidang berpotensi untuk memperluas kerjasama TVET, termasuk program pertukaran pelajar dan tenaga pengajar, latihan industri serta program peningkatan kemahiran, khususnya dalam bidang baharu dan mendapat permintaan tinggi seperti TVET digital, kemahiran hijau, pembuatan pintar dan keselamatan siber,” katanya.
Kementerian itu memaklumkan kerjasama berkenaan akan membantu memperkukuh kemahiran yang relevan dengan keperluan industri, meningkatkan kebolehpasaran pekerjaan serta menyokong mobiliti kemahiran dan tenaga kerja yang lebih luas antara Malaysia dan Thailand.
Menurut KESUMA, Ramanan menekankan kepentingan menyelaraskan rangka kerja buruh dua hala dengan keperluan industri semasa dan piawaian perlindungan pekerja antarabangsa bagi memastikan manfaat ekonomi bersama.
Sementara itu, Julapun mengulangi komitmen Thailand untuk bekerjasama rapat dengan Malaysia bagi mewujudkan laluan migrasi buruh yang selamat, telus, cekap dan adil.
-- BERNAMA