MERSING: Mangsa yang maut dalam insiden dua bot penumpang bertembung di Kuala Sungai Mersing malam tadi sempat memuat naik fotonya dalam bentuk video menerusi status di aplikasi WhatsApp beberapa jam sebelum kejadian itu.
Kakak mangsa Suhailah Mohd Sanin, 51, berkata adiknya Mohd Sohaizi, 38, memuat naik video dengan bait tulisan, antaranya “Takdir Allah itu cantik. Allah dah susun perjalanan hidup kita ni dengan baik sekali, lalui lah dengan tenang dan ingatlah Allah sentiasa ada dengan kita”.
Suhailah berkata video yang menyentuh hati daripada anak keenam daripada lapan beradik itu seakan-akan memberikan petanda dan pesanan buat ahli keluarga serta rakan-rakan mangsa agar reda dengan pemergiannya.
“Selain itu, mesej terakhir yang dikirim arwah kepada saya pada 20 Ogos lepas adalah ‘kak, akaklah kakak dunia akhirat saya’… tetapi ketika itu tidak terfikir yang pelik-pelik.
“… cuma saya pesan ‘kita ni dah tak ada mak ayah’, yang tinggal cuma kami adik-beradik. Apabila teringat kembali hati jadi sebak," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Mersing hari ini.
Suhailah berkata Mohd Sohaizi mempunyai kemahiran membaiki enjin bot, kereta dan motosikal, selain minat bekerja di laut sama seperti arwah bapa mereka yang juga seorang nelayan.
“Arwah bekerja membaiki enjin bot tetapi pada masa sama ada mengambil upah sambilan membawa bot penumpang.
“Kami memang jarang berjumpa kerana saya duduk di Kangkar Pulai sementara arwah duduk di Mersing dan kali terakhir kami bertemu pada Aidilfitri lepas,” katanya.
Menurut Suhailah, beliau dimaklumkan mengenai tragedi yang menimpa adiknya itu oleh anak saudaranya kira-kira pukul 8 malam.
“Arwah seorang yang pendiam, pada awalnya saya ingatkan cuma pengsan tetapi rupa-rupanya mereka beritahu pelanggaran bot itu meragut nyawanya,” katanya.
Suhailah memaklumkan jenazah Allahyarham Mohd Sohaizi dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam At-Thahiriyah di sini selepas selesai prosedur bedah siasat.
Terdahulu, Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata dua kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 304A dan Seksyen 280 Kanun Keseksaan, selain klasifikasi laporan mati mengejut (SDR) berhubung insiden itu.
Beliau berkata dua mangsa yang maut di lokasi kejadian adalah pengendali bot Mohd Sohaizi dan pelancong lelaki tempatan berusia 32 tahun di kawasan Kuala Sungai Mersing, anggaran jarak 800 meter dari Jeti Sungai Mersing kira-kira 8.15 malam.
-- BERNAMA