Skip to main content

Malaysia

Maulidur Rasul: Kesatuan ummah berdepan cabaran, pemimpin Islam perlu kurangkan sengketa - Sultan Nazrin

IPOH, 25 Ogos -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan titah pada sambutan Maulidur Rasul 1448H/2026M Peringkat Negeri Perak hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan titah pada sambutan Maulidur Rasul 1448H/2026M Peringkat Negeri Perak hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

IPOH: Kesatuan umat Islam kini semakin berdepan dengan cabaran besar akibat perbezaan politik, mazhab, bangsa dan kepentingan, di samping tarikan kepada pengaruh, pangkat, jawatan, harta dan kemewahan dunia, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah. 

Sultan Nazrin bertitah faktor berkenaan semakin mengatasi semangat persaudaraan mengakibatkan konsep ukhuwah semakin terpinggir. 

Sehubungan dengan itu, baginda bertitah pemimpin, badan dan gerakan atas nama Islam perlu mengurangkan sengketa dan meminimumkan aktiviti berpolitik, sebaliknya mengutamakan perhatian dan tenaga menyokong serta membantu usaha yang berpotensi menggemilangkan identiti ummah.  

"Amatlah menggalakkan dan sewajarnya kita bersyukur kerana ketika pemimpin dan kabilah-kabilah politik memilih untuk bersaing dan bersengketa, terdapat individu dan kumpulan yang merintis usaha positif, menggerakkan dan mengusahakan kesedaran terhadap pendidikan Islam.

"Juga ekonomi Islam, kewangan Islam, industri halal, wakaf, dakwah digital dan pengukuhan institusi keluarga, usaha positif ini wajib diperluas, diperkukuh dan dijayakan," titah baginda pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak di sini, hari ini.  

Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah turut berangkat ke majlis berkenaan.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubin.

Sultan Nazrin bertitah jati diri Muslim dan identiti ummah kini berdepan dengan cabaran yang perlu ditangani secara serius kerana semakin terdedah kepada pengaruh global termasuk media sosial, budaya popular, hiburan dan gaya hidup global. 

"Usaha, pendekatan dan langkah yang bijak sangat diperlukan untuk mengimbangkan dan memastikan kemodenan tidak menghakis prinsip dan identiti Muslim, demi memastikan tidak akan wujud krisis keyakinan terhadap identiti sendiri," titah baginda. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement