Skip to main content

Malaysia

MCA Perak ambil tanggungjawab isu bendera terbalik, kakitangan letak jawatan

KUALA KANGSAR, 23 Sept -- Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon ketika ditemui media pada Majlis Perasmian Galeri Tsung Wah di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tsung Wah hari ini.  --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mah berkata pihaknya menegaskan bahawa kejadian itu tidak disengajakan dan tiada niat untuk menghina Jalur Gemilang atau bendera negeri Perak. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

IPOH: MCA Perak mengambil tanggungjawab sepenuhnya berhubung kesilapan pemasangan Jalur Gemilang dan bendera negeri Perak secara terbalik yang tular hari ini, dengan kakitangan terbabit telah meletakkan jawatan serta-merta.

Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri MCA Perak Datuk Dr Mah Hang Soon berkata pihaknya memandang serius kejadian itu dan memohon ampun kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah serta memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berhubung kesilapan berkenaan.

Beliau berkata kedua-dua bendera terbabit telah diturunkan sebaik sahaja kesilapan disedari sebelum dikibarkan semula dalam kedudukan yang betul.

“MCA Perak mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan memandang serius insiden ini. Kesilapan yang tidak disengajakan itu telah diperbetulkan segera, manakala pihak yang terlibat melakukan kesilapan tersebut telah meletakkan jawatan serta-merta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mah berkata kejadian berlaku pagi tadi apabila seorang kakitangan Ibu Pejabat MCA Perak yang ditugaskan memasang Jalur Gemilang serta bendera negeri Perak sempena sambutan Bulan Kebangsaan melakukan kesilapan berkenaan.

Beliau berkata pihaknya menegaskan bahawa kejadian itu tidak disengajakan dan tiada niat untuk menghina Jalur Gemilang atau bendera negeri Perak.

“Pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh telah hadir ke pejabat MCA Perak kira-kira 1 petang tadi bagi menjalankan siasatan serta merakam percakapan kakitangan terbabit dan pegawai pentadbiran ibu pejabat.

“MCA Perak telah dan akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berkaitan insiden ini,” katanya.

Mah berkata kakitangan berkenaan turut melahirkan rasa kesal dan secara sukarela menawarkan diri untuk meletakkan jawatan, dengan Ibu Pejabat MCA Negeri Perak menerima peletakan jawatan itu atas dasar menghormati keputusan peribadi beliau.

“Beliau (kakitangan berkenaan) telah berkhidmat dengan penuh dedikasi selama bertahun-tahun. Kami akan menguruskan hal-hal berkaitan beliau berhubung perkara ini dengan sewajarnya,” katanya.

Terdahulu, tular di laman Facebook gambar serta video yang memaparkan Jalur Gemilang serta bendera negeri Perak dipasang secara terbalik di bangunan berkenaan.

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement