KUCHING: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendesak pihak berkuasa segera membuka kertas siasatan menyeluruh berhubung kes penindasan, ugutan dan kutipan hutang melampau yang didakwa didalangi sindiket pinjaman wang haram (along) di Sarawak.
Setiausaha Agungnya Datuk Hishamuddin Hashim berkata pihaknya menerima pelbagai aduan di negeri ini melibatkan taktik kekerasan, termasuk rampasan kenderaan, penyebaran maklumat peribadi serta gangguan psikologi terhadap mangsa.
“Ini ada lima mangsa hadir hari ini, yang tertekan akibat along termasuk kenderaan dirampas tanpa perintah mahkamah, bayaran balik mencecah ratusan ribu ringgit, maklumat peribadi serta kad pengenalan disebarkan, kad bank dipegang serta diugut di kediaman sendiri.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di pejabat MHO Kuching, pada Selasa.
Kesemua mangsa telah membuat laporan polis, namun aduan mereka hanya diklasifikasikan sebagai Rujuk Lain Agensi (RLA), dan perlu dirujuk kepada pihak lain seperti Pejabat Residen tanpa sebarang perkembangan atau pembukaan kertas siasatan yang sewajarnya.
Seorang daripada mangsa yang mahu dikenali sebagai Isabella mendedahkan dia terjebak dalam kemelut pinjaman, dan menanggung beban bayaran yang berterusan walaupun jumlah yang dilunaskan sudah jauh melampaui pinjaman asal.
"Saya mohon pinjam RM10,000 pada 2017 tetapi dapat pada tangan hanya RM8,000 ... saya sudah bayar hampir 10 tahun mencecah RM371,000 tetapi masih diganggu, dan ditekan sehingga saya menanggung tekanan jiwa yang berat," kata ibu tunggal kepada empat cahaya mata itu.
Hishamuddin berkata sebagai langkah susulan, MHO akan menghantar surat representasi rasmi kepada Ketua Polis Daerah untuk mempertimbangkan semula status kes di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, selain membawanya ke peringkat Pesuruhjaya Polis Sarawak.
“Jika tidak mendapat maklum balas, kita akan merujuk kepada Bahagian Pendakwaan Negeri bagi memohon arahan Order to Investigate (OTI) demi memastikan pembelaan tuntas diberikan kepada mangsa,” katanya.
-- BERNAMA