Ringkasan AI
- Kementerian Pengangkutan menggalakkan pembangunan aplikasi tempatan menggunakan data pengangkutan awam susulan larangan penggunaan Waze oleh penjawat awam.
- Dasar data terbuka telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu, membolehkan maklumat pengangkutan awam diakses oleh pembangun aplikasi.
- Prasarana Malaysia Berhad turut menyediakan maklumat operasi pengangkutan awam untuk dimanfaatkan oleh orang ramai dan pembangun aplikasi tempatan.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) menggalakkan pembangunan aplikasi tempatan yang memanfaatkan data pengangkutan awam susulan larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan penjawat awam yang berkuat kuasa semalam.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kementeriannya telah melaksanakan dasar data terbuka sejak beberapa tahun lalu, sekali gus membolehkan maklumat berkaitan pengangkutan awam diakses oleh pihak yang berminat membangunkan aplikasi.
“Dari segi data, kita lebih kepada data awam dan perkara ini memang sejak beberapa tahun lalu mengamalkan dasar data terbuka.
“Data terbuka dari segi jumlah penumpang, kekerapan, perjalanan tren dan sebagainya memang boleh diakses oleh mana-mana pihak yang mahu membina aplikasi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Projek Pengindahan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek di ibu negara pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada MOT bersedia menyokong pembangunan aplikasi tempatan susulan kebimbangan keselamatan berkaitan penggunaan Waze.
Menurut Loke, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) turut menyediakan pelbagai maklumat operasi pengangkutan awam yang boleh digunakan oleh orang ramai dan pembangun aplikasi.
Jelasnya, akses kepada data berkenaan memberi peluang kepada pihak berkaitan menghasilkan aplikasi bagi memudahkan pengguna mendapatkan maklumat perkhidmatan pengangkutan awam.
“Jadi, sesiapa sahaja yang mahu membangunkan aplikasi pengangkutan awam boleh memanfaatkannya,” tambahnya.