Sebut sahaja Pasar Besar Kedai Payang atau Pasar Payang, pasti mereka yang pernah berkunjung ke Terengganu, akan terbayang suasana penuh sesak pengunjung dan kepadatan pelbagai barangan jualan produk popular di negeri itu, termasuk kain batik, sutera dan songket.
Namun, wajah Pasar Payang seperti itu yang selama ini menjadi ikon di negeri itu pasti akan berubah, apabila kerajaan negeri memutuskan merobohkan bangunan yang dibina sejak 1968 itu, untuk digantikan dengan pasar yang lebih moden, selesa dan mesra pengunjung, bermula April ini.
Kesemua peniaga telah pun diarahkan berpindah secara berperingkat ke bangunan lain, yang terletak hampir 80 meter dari bangunan asal, sementara Pasar Payang baharu, yang menelan belanja RM50 juta dijangka siap dua tahun lagi.
Tinjauan Bernama ke pasar yang terletak di tengah-tengah Bandar Raya Kuala Terengganu dan pinggir Sungai Terengganu itu mendapati, rata-rata peniaga masih dihimpit perasaan berbelah bahagi untuk berpindah, kerana pasar itu yang telah menjadi sebahagian daripada hidup mereka tentunya meninggalkan pelbagai memori terutamanya, bagi peniaga asal di situ.
Ibrahim Jusoh, 65, yang berniaga sejak 1960an berkata Pasar Payang berada pada zaman kegemilangannya sekitar tahun 1980an, sehingga berjaya menarik pelancong dari dalam serta luar negeri.
Katanya, pasar itu menjadi tapak perjuangan lebih 500 peniaga, majoritinya melayu, yang tentunya menyimpan terlalu banyak kenangan suka duka, dalam tempoh 51 tahun kewujudannya dengan beberapa kali mengalami perubahan struktur.
"Sebelum adanya kompleks pasar seperti hari ini, Pasar Payang hanyalah terdiri dari deretan kedai kecil yang menjual barang keperluan dan di satu sudut lain diisi oleh beberapa peniaga sayur serta buah-buahan.
"Pada tahun 1964 barulah ia dibangunkan sebagai sebuah pasar, bagi menempatkan peniaga-peniaga dari Pasar Besar Tanjung yang dirobohkan. Nama Kedai Payang pula dikekalkan bagi memelihara sejarah tempat asal itu sendiri," katanya ketika ditemui Bernama.
Mengimbas kenangan, Ibrahim berkata beliau mula berniaga di situ, seawal umurnya sembilan tahun dengan mengikuti ibunya yang menjual makanan ayam seperti jagung, sekam dan padi.
Menurutnya, keadaan pada waktu itu amat berbeza dengan hari ini, di mana hanya sekitar 70 hingga ke 80 peniaga, sementara barang dagangan hanyalah kuih-muih, sayur-sayuran dan buah-buahan.
Bagaimanapun, lama kelamaan semakin ramai peniaga bertapak di situ dan jualan juga dipelbagaikan kepada barangan basah, batik, songket, tembaga dan sebagainya.
"Sepanjang pakcik berniaga di sini, adalah tiga atau empat kali berpindah disebabkan kerja-kerja membaiki dan membesarkan bangunan Pasar Payang.
"Malah dulu-dulu berdekatan pintu masuk Pasar Payang, ada sebuah menara jam besar yang berdiri megah di situ dan menjadi tumpuan orang ramai," katanya yang masih menyimpan koleksi gambar lama Pasar Payang sebagai kenangan.
Lebih nostalgik, Ibrahim berkata Pasar Payang telah dirasmikan Sultan Terengganu ke-16 iaitu Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 31 Ogos 1968 yang ketika itu merupakan Yang di-Pertuan Agong keempat.
Seorang lagi peniaga asal di situ, Ibrahim Mohamad, 75, berkata memori paling diingati ketika mencari rezeki di situ ialah kesibukan peniaga serta orang ramai memunggah barangan dari perahu ke pasar.
Bermula dengan mengambil upah mengangkut barangan, Ibrahim mula berjinak-jinak berniaga buah-buahan, bagi menyara isteri serta 15 orang anak yang masih kecil.
"Sekitar tahun 1960an hingga awal 80an, perahu atau bot adalah pengangkutan utama masyarakat seperti dari Paloh, Seberang Takir, Teluk Pasu dan Kuala Nerus yang datang membawa barang dagangan masing-masing.
"Pada masa itu buah-buahan dijual secara longgok sahaja, iaitu RM1 untuk 20 biji limau yang dibekalkan oleh orang kampung. Malah ketika itu penggunaan sukatan masih dalam unit tahil, kati dan pikul bukannya kilogram seperti sekarang," katanya yang tidak dapat menahan rasa sayu, apabila mengenangkan Pasar Payang yang bakal bertukar wajah.
Sungguhpun begitu, Ibrahim yang sudah lebih 50 tahun berniaga di situ tetap akur, dengan pelan pembangunan tersebut yang diharap dapat mengembalikan kegemilangan Pasar Payang, seperti suatu masa dahulu.
Nama Pasar Payang, yang beroperasi seawal 7 pagi hingga 6 petang itu, diambil sempena 'perahu payang' yang sering digunakan nelayan sejak awal proses perdagangan di negeri itu, dan pada awalnya ia hanyalah gerai berasaskan kayu dan dinaik taraf pada 1968.
Bangunan dua tingkat yang bakal dirobohkan itu, menjual pelbagai barangan di tingkat atas terutama kain batik dan songket asli Terengganu manakala di aras bawah mempunyai gerai menjual barangan basah serta pelbagai rempah ratus dan barang kemas.
-- BERNAMA
Bernama
Sun Mar 03 2019
Pasar Besar Kedai Payang merupakan salah satu destinasi popular yang dikunjungi oleh para pelancong dari dalam dan luar negara. --fotoBERNAMA
Eksklusif! Joe Hart bakal tiba di Malaysia
Joe Hart bakal ke Malaysia dan secara eksklusif akan dibawakan menerusi Nadi Arena Jumaat ini.
CPTPP saluran kritikal kembang pelaburan, perdagangan antara Malaysia, UK - PM Anwar
Anwar berkata ini dapat dilaksanakan susulan daripada langkah kedua-dua negara menyertai perjanjian tersebut.
Malaysia perkasa syarikat pemula, pacu penyelesaian inovatif - Chang
Malaysia akan berusaha memperkasakan syarikat pemula dengan memudahkan kerjasama dan menggalakkan penyelesaian inovatif yang lebih komersial.
Thailand sokong Malaysia sebagai tuan rumah AIPA ke-46 - Johari
Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46 yang bakal dianjurkan di Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia telah mendapat sokongan yang amat baik dari Thailand.
Malaysia sasar perkukuh hubungan digital pada Mesyuarat Menteri Digital ASEAN di Bangkok
Malaysia menyasar untuk memperkukuh hubungan digital pada Mesyuarat Menteri Digital ASEAN (ADGMIN) kelima yang akan berlangsung dari 15 hingga 17 Jan, 2025 di Bangkok, Thailand.
Malaysia perlu rebut peluang peluang perdagangan luar untuk imbangi halangan perdagangan AS
Malaysia perlu mempelbagai rakan dagangan dan tidak bergantung sepenuhnya kepada sumber perdagangan tunggal, untuk mengukuhkan ekonominya.
Singapura perkenal kod amalan untuk aplikasi bagi meningkatkan keselamatan dalam talian
Kategori kandungan berbahaya yang dikenal pasti termasuk kandungan seksual, keganasan, bunuh diri dan mencederakan diri.
Tidak 'janji bulan bintang' MTBC usaha beri penghargaan sewajarnya
Mohd Najeeb menegaskan beliau sentiasa percaya terhadap kemampuan pemain terutama dengan jadual padat menanti mereka sepanjang tahun ini.
Perjanjian Gencatan senjata di Gaza dimeterai, mula Ahad ini
Rundingan gencatan senjata telah mencapai persetujuan berperingkat pada Rabu untuk menamatkan perang di Gaza antara Israel dan Hamas.
PM Palestin seru tindakan tamatkan pendudukan Israel
Mustafa berkata masyarakat antarabangsa mesti ambil tindakan konkrit dan tidak boleh diubah terhadap Israel untuk laksanakan penyelesaian dua negara.
UMT sedia geran RM500,000 tingkatkan usaha pemuliharaan penyu
Sebagai bukti UMT telah menyediakan geran penyelidikan sebanyak RM500,000 bagi tempoh dua tahun bermula tahun hadapan, untuk menggalak serta merancakkan lagi usaha konservasi penyu di negeri ini.
Pasar Payang bakal diroboh, 51 tahun penuh kenangan
Wajah Pasar Payang yang selama ini menjadi ikon di negeri itu pasti akan berubah apabila kerajaan negeri memutuskan merobohkan bangunan yang dibina sejak 1968 itu.