Skip to main content
Advertisement

Malaysia

PDRM selamatkan 4 warga asing diculik, sindiket guna aplikasi temu janji tumpas

Kuala Lumpur , 10 Ogos 2026. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M Kumar menunjukkan barang rampasan berikutan sidang media di Menara 2 Bukit Aman Ibu Pejabat Polis DiRaja Malaysia.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Kumar berkata, berdasarkan siasatan awal, sindiket yang menyasarkan warga asing itu dipercayai akan mendampingi mangsa dengan memperdaya mereka melalui pelawaan bercuti, menawarkan pekerjaan bergaji lumayan atau perkhidmatan teman sosial.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki Singapura dan tiga wanita China diselamatkan polis selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket penculikan yang menggunakan aplikasi temu janji dan media sosial seperti Telegram, WeChat serta Badoo untuk mendekati sasaran sebelum memerangkap mangsa sebaik tiba di Malaysia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, berdasarkan siasatan awal, sindiket yang menyasarkan warga asing itu dipercayai mendampingi mangsa dengan memperdaya mereka melalui pelawaan bercuti, menawarkan pekerjaan bergaji lumayan atau perkhidmatan teman sosial sebelum menculik dan mengurung mangsa.

Menurutnya, sindiket itu terbongkar selepas polis menembak mati dua suspek warga asing di Alor Setar, Kedah, Sabtu lalu.

Beliau memberitahu, susulan itu, polis turut menahan lima lelaki termasuk seorang rakyat tempatan dan seorang wanita warga asing yang dipercayai terbabit dalam penculikan itu.

"Operasi itu dijalankan susulan laporan polis yang dibuat pada 6 Ogos lalu oleh seorang wanita warga Singapura berusia 73 tahun, yang mendakwa adik lelakinya, 72 tahun, diculik ketika berada di Malaysia.

"Menurut kakak mangsa, sebelum itu adiknya juga gagal menghubunginya susulan ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas dari Singapura.

"Suspek dipercayai menghubungi kakak mangsa warga Singapura menerima pesanan suara mendakwa mangsa diculik dan dikurung, selain permintaan wang tebusan sebanyak S$1 juta (RM3.2 juta).

"Selain itu, satu video yang menunjukkan mangsa dalam keadaan bergari, mata ditutup serta mempunyai kesan kecederaan turut dihantar kepada pengadu.

"Keluarga mangsa Singapura dipercayai sudah membuat tiga pembayaran berjumlah kira-kira S$15,000 (RM61,300) ke dalam akaun milik mangsa yang dipercayai dikawal suspek," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut mengenai modus operandi, Kumar memberitahu, suspek mengarahkan mangsa mendedahkan maklumat perbankan sebelum meminta ahli keluarga mereka memindahkan semua wang dalam akaun mangsa.

Siasatan katanya mendapati suspek ada mengeluarkan wang tersebut.

Beliau memberitahu, dalam operasi pada 7 Ogos lalu, polis menyerbu beberapa lokasi di Pulau Pinang dan Kedah, termasuk sebuah rumah teres dua tingkat di kawasan Telaga Bata, Alor Setar, Kedah, yang dipercayai menjadi lokasi mangsa dikurung.

"Ketika serbuan kira-kira pukul 8.40 malam itu, polis terpaksa berbalas tembakan dengan suspek selepas beberapa das tembakan dilepaskan ke arah pasukan operasi.

"Dua suspek lelaki dipercayai anggota sindiket maut dalam kejadian itu, manakala pemeriksaan di dalam rumah berkenaan menemukan mangsa dalam keadaan tangan bergari dan mata ditutup.

"Seorang lagi wanita warga China turut ditemukan dalam keadaan sama di bilik berasingan," jelasnya.

Kumar berkata, mangsa wanita mendakwa diculik pada 5 Ogos lalu selepas berkenalan dengan seorang wanita warga asing menerusi WeChat yang mengajaknya ke Pulau Pinang untuk diperkenalkan dengan seorang lelaki.

Katanya, selepas diculik dan dikurung, suspek meminta wang tebusan sebanyak AS$20,000 (RM81,770) serta mengugut untuk menghantar mangsa ke Myanmar.

"Mangsa kemudian menghubungi ahli keluarganya di China untuk menghantar wang, namun tiada transaksi direkodkan setakat ini," katanya.

Kumar berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa tidak mengenali antara satu sama lain dan tidak mengenali suspek.

Beliau berkata, enam suspek yang ditahan dalam operasi berasingan di Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur direman selama tujuh hari bermula 8 Ogos hingga 14 Ogos ini.

Dalam pada itu, kata Kumar, polis turut percaya sindiket berkenaan mempunyai kaitan dua lagi kes penculikan lain yang berlaku di Kuala Lumpur.

"Salah seorang mangsa berjaya melarikan diri dan membuat laporan polis manakala seorang lagi mangsa diselamatkan polis," ujarnya.

"Polis percaya mangsa-mangsa ini dipindahkan dari satu rumah ke rumah lain bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

"Hasil siasatan juga mendapati beberapa rumah di Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur dipercayai disewa menggunakan platform Airbnb," tambahnya.

Beliau percaya sindiket tersebut tumpas dengan penahanan enam suspek selain dua yang ditembak mati, namun siasatan diteruskan bagi mengenal pasti peranan setiap suspek.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961, Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Kumar turut memberi amaran kepada rakyat tempatan supaya tidak mudah mempercayai tawaran pekerjaan atau perkhidmatan daripada individu yang hanya dikenali melalui media sosial.

Must Watch Video

Advertisement