PONTIAN: Seorang pekerja swasta kerugian lebih RM1.15 juta selepas diperdaya sindiket penipuan pelaburan tidak wujud dalam talian sejak awal tahun ini.
Ketua Polis Daerah Pontian Superintenden Hadzrat Hussein Mion Hussain berkata lelaki berusia 52 tahun itu membuat laporan semalam dan siasatan awal mendapati mangsa berkenalan dengan seorang wanita melalui WhatsApp sejak awal Januari.
Beliau berkata wanita itu memperkenalkan diri sebagai "Farini" dan menawarkan satu skim pelaburan didakwa mampu memberikan pulangan lumayan hingga 15 peratus daripada jumlah modal yang dilaburkan.
“Mangsa membuat transaksi pertama sebanyak RM5,000 pada 8 Feb ke satu akaun bank dan kemudian menerima RM5,877.65 sebagai pulangan pelaburan.
“Yakin dengan pelaburan itu, mangsa membuat transaksi ke beberapa akaun bank secara berperingkat hingga 26 Mac, membabitkan jumlah keseluruhan RM1,151,621.96,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hadzrat Hussein berkata mangsa menyedari dirinya ditipu selepas diminta membuat bayaran tambahan bagi membolehkan keuntungan pelaburan dikeluarkan.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA