Skip to main content

Malaysia

Pelan perkukuh kawalan pintu masuk negara dibentang ke Kabinet esok

[TB]_Saifuddin Nasution Ismail_BERNAMA
Saifuddin Nasution berkata, pelan itu disediakan dalam tempoh dua minggu susulan arahan Kabinet untuk memperkukuh kawalan di pintu masuk negara menerusi penyelarasan lebih berkesan antara pelbagai agensi berkaitan. - Gambar Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Pelan komprehensif bagi menambah baik kawalan di pintu masuk negara akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri esok, kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pelan berkenaan akan dibentangkan beliau bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada mesyuarat Kabinet.

Tambah beliau, pelan itu disediakan dalam tempoh dua minggu susulan arahan Kabinet untuk memperkukuh kawalan di pintu masuk negara menerusi penyelarasan lebih berkesan antara pelbagai agensi berkaitan.

"Insya-Allah, esok saya akan membentangkannya bersama rakan saya, Menteri Pengangkutan, kerana pelan komprehensif ini turut melibatkan elemen yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan (MOT)," katanya.

Beliau berkata demikian pada perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, pelan berkenaan mengambil kira keperluan memperkukuh koordinasi antara agensi bagi memastikan kawalan di pintu masuk negara tidak lagi dilaksanakan secara berasingan atau "silo."

Katanya, antara aspek yang diberi perhatian termasuk peningkatan kompetensi sumber manusia, keperluan infrastruktur, sistem kamera litar tertutup (CCTV), mesin pengimbas serta latihan kepada petugas yang mengendalikan peralatan berkenaan.

"Kita mahu melihat aspek yang boleh ditambah baik, sama ada dari sudut infrastruktur, CCTV, mesin pengimbas atau latihan kepada pegawai yang mengendalikan mesin tersebut. Semua perkara ini akan diteliti," katanya.

Isu kawalan keselamatan di lapangan terbang mendapat perhatian susulan beberapa kes membabitkan rakyat Malaysia kebelakangan ini, termasuk penahanan seorang juruterbang Malaysia selepas kira-kira 25 kilogram dadah jenis MDMA dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Indonesia, baru-baru ini.

Berikutan itu, Jemaah Menteri dilaporkan mengarahkan KDN dan MOT mengemukakan pelan komprehensif bagi menambah baik kawalan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam tempoh dua minggu.

Arahan tersebut dibuat susulan kebimbangan kerajaan bahawa insiden berkenaan boleh menjejaskan imej negara serta menimbulkan persepsi wujud kelemahan dalam sistem kawalan keselamatan di premis terbabit.

Mengenai siasatan kes juruterbang berkenaan, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima kerjasama yang baik daripada pihak berkuasa Indonesia dan telah berjaya menemu bual suspek untuk tindakan lanjut.

"Maklumat yang diperoleh membantu kita menentukan sama ada kes ini melibatkan rangkaian sindiket antarabangsa atau tindakan individu.

"Ia juga memberi peluang kepada kita untuk mengenal pasti kelemahan atau kekurangan yang mungkin wujud di pintu keluar dan pintu masuk negara," katanya.

Must Watch Video

Advertisement