Skip to main content

Malaysia

Pembakaran kecil boleh jejas kualiti udara

KUCHING, 30 Ogos - Pemandangan berjerebu dirakam berhampiran Tebingan Sungai Kuching yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 299 iaitu sangat tidak sihat setakat 11 pagi ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA  photographed by: RUSHDAN MANAN
Profesor Dr Mohd Talib Latif berkata keadaan jerebu turut dipengaruhi faktor meteorologi seperti halaju dan arah angin, suhu, hujan dan kelembapan udara selain faktor geografi permukaan bumi. - Gambar hiasan/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Aktiviti pembakaran kecil seperti membakar sampah, daun-daun serta ranting kering di halaman rumah yang sering dianggap remeh boleh menyumbang kepada pencemaran udara setempat. 

Pensyarah Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Profesor Dr Aweng Eh Rak berkata pembakaran terbuka walaupun secara kecil-kecilan boleh menyebabkan asap tertumpu di sesuatu kawasan, sekali gus meningkatkan kepekatan asap di kawasan itu.

“Pembakaran terbuka tidak mempunyai cerobong untuk menyalurkan asap ke udara, maka asap yang berbahaya akan tertumpu di satu kawasan dan kepekatannya tinggi. Keadaan ini lebih berbahaya berbanding asap yang kita lepaskan ke udara menggunakan cerobong,” katanya kepada Bernama.

Aweng berkata dalam keadaan jerebu seperti yang melanda negara sekarang, pembakaran terbuka boleh meningkatkan lagi kepekatan bahan pencemar di sesuatu kawasan terutama apabila aliran udara tidak baik.

“Kawasan kampung biasanya tidak mempunyai aliran udara yang baik dan aliran udara tertumpu di kawasan itu sahaja. Dalam keadaan jerebu ketika ini, pembakaran terbuka akan meningkatkan lagi kepekatan pencemar di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata antara bahan pencemar utama yang terhasil daripada pembakaran terbuka ialah zarah berdiameter 10 mikrometer atau kurang (PM10) dan zarah berdiameter 2.5 mikrometer atau kurang (PM2.5).

Sisa organik seperti daun dan ranting tidak seharusnya dibakar sebaliknya boleh dijadikan baja kompos, bahan sungkup bagi mengekalkan kelembapan batas tanaman atau dipotong kecil dan dibiarkan reput secara semula jadi.

Sementara itu, Pengarah Institut Perubahan Iklim (IPI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Dr Mohd Talib Latif berkata sumber pencemaran tempatan tetap perlu dikawal walaupun sebahagian besar bahan pencemar jerebu ketika ini berpunca daripada sumber rentas sempadan.

Beliau berkata kira-kira 80 peratus bahan pencemar ketika jerebu dianggarkan berpunca daripada pembakaran tanah gambut dan pergerakan udara rentas sempadan, manakala sumber tempatan turut menyumbang terutama ketika keadaan udara stabil.

Keadaan jerebu turut dipengaruhi faktor meteorologi seperti halaju dan arah angin, suhu, hujan dan kelembapan udara selain faktor geografi permukaan bumi.

Beliau berkata keadaan jerebu boleh diramalkan berdasarkan jumlah titik panas dan pergerakan angin.

Justeru, Mohd Talib berkata JAS sentiasa meningkatkan penguatkuasaan dan rondaan harian di kawasan yang berpotensi berlaku pembakaran terbuka, selain memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dari semasa ke semasa.

Beliau berkata Jabatan Meteorologi Malaysia dengan kerjasama penyelidik UKM telah membangunkan Model Kualiti Udara Pelbagai Skala Komuniti Malaysia (MyCMAQ) bagi membantu meramal kualiti udara.

Penggunaan kenderaan terutama di bandar-bandar utama serta tenaga yang dijana daripada sumber pembakaran turut menyumbang kepada pencemaran udara tempatan.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement