SUNGAI PETANI: Penemuan mayat seorang lelaki berusia lingkungan 30-an di Kampung Sungai Division dekat sini, dua hari lepas, kini disiasat sebagai kes jenayah.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat itu pada 6.55 petang, Ahad lepas.
"Siasatan awal mendapati kematian lelaki terbabit mempunyai unsur jenayah, mayat berkenaan dipercayai baru sahaja meninggal dunia. Nama panggilan mangsa sudah diperoleh namun identiti sebenar mangsa masih dalam proses pengesahan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata mana-mana pihak yang kehilangan ahli keluarga diminta tampil ke balai polis bagi membantu proses pengecaman.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu juga diminta tampil membantu siasatan," katanya bahawa kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
-- BERNAMA