Skip to main content

Malaysia

PERHEBAT salur RM10,000 bantu veteran ATM menerusi Program Kayuhan Ihsan di Kuala Perlis

Tuanku Syed Faizuddin berkenan menyertai Program Kayuhan Ihsan PERHEBAT dianjurkan dengan kerjasama MAIPs, JHEV ATM, Yayasan Veteran ATM dan MN Holdings Berhad sebagai usaha menyantuni veteran ATM serta golongan asnaf melalui pendekatan kebajikan dan kemasyarakatan.
Tuanku Syed Faizuddin berkenan menyertai Program Kayuhan Ihsan PERHEBAT dianjurkan dengan kerjasama MAIPs, JHEV ATM, Yayasan Veteran ATM dan MN Holdings Berhad sebagai usaha menyantuni veteran ATM serta golongan asnaf melalui pendekatan kebajikan dan kemasyarakatan.

Advertisement

KUALA PERLIS: Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) menyalurkan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada lima veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Program Kayuhan Ihsan PERHEBAT yang berlangsung di sekitar Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna Warni Seberang Ramai, di sini, pada Khamis.

Sumbangan itu merangkumi insentif keusahawanan berjumlah RM9,000 kepada tiga usahawan veteran serta wang ihsan sebanyak RM1,000 kepada dua veteran yang uzur akibat penyakit kronik.

Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia berkenan berangkat menyaksikan penyerahan sumbangan tersebut selain mengetuai kayuhan sejauh 10 kilometer melibatkan laluan di Kampung Seberang Alor, Kampung Seberang Ramai dan Kampung Wai.

Turut mengiringi baginda ialah Ketua Pengarah PERHEBAT, Datuk Ts. Amir Md. Noor; Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, Mejar Jeneral Datuk Haji Semaon Haji Marjuk; serta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM, Lt. Kol. Azwadi Jamian (Bersara).

Menurut PERHEBAT, bantuan yang disalurkan itu turut melibatkan inisiatif kebajikan JHEV ATM dan Yayasan Veteran ATM dalam usaha membantu veteran yang memerlukan sokongan, khususnya dalam aspek pembangunan keusahawanan dan kebajikan.

Dalam program sama, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan agihan zakat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada tiga asnaf terpilih.

Penerima terbabit ialah Kamal Ludin Saad, 72, dari Kampung Seberang Alor; Denah Ladin, 83, dari Kampung Seberang Tok Pi; dan Amir Shaaban, 73, dari Kampung Tandiap.

Setiap penerima menerima wang tunai RM700, Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah bagi membantu meringankan beban keperluan harian mereka.

Program Kayuhan Ihsan PERHEBAT dianjurkan dengan kerjasama MAIPs, JHEV ATM, Yayasan Veteran ATM dan MN Holdings Berhad sebagai usaha menyantuni veteran ATM serta golongan asnaf melalui pendekatan kebajikan dan kemasyarakatan.

Must Watch Video

Advertisement