KUALA LUMPUR: Perjanjian perdagangan pelbagai hala ASEAN perlu terus ditambah baik dengan mengambil kira perbezaan tahap pembangunan ekonomi serta kepentingan strategik setiap negara anggota bagi memastikan integrasi ekonomi serantau dapat diperkukuh.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Pengerusi Pusat Inisiatif Masa Depan Asia Tenggara (SEAFIC), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, usaha mencapai kesepakatan dalam ASEAN berdepan cabaran apabila negara anggota mempunyai tahap keterbukaan pasaran dan keutamaan ekonomi yang berbeza.
Beliau berkata meskipun konsensus menjadi asas kerjasama ASEAN, perjanjian perdagangan pelbagai hala yang dicapai tidak semestinya mempunyai skop dan tahap keterbukaan yang sama seperti perjanjian dua hala.
"Perjanjian pelbagai hala yang dicapai mungkin tidak begitu mendalam atau tidak sebaik perjanjian dua hala. Kita sering bercakap tentang kepentingan kedaulatan negara dan perkara itu boleh difahami.
"Sememangnya bukan mudah untuk semua negara anggota ASEAN mencapai persetujuan, terutama apabila terdapat pelbagai pertimbangan strategik yang menyebabkan mereka tidak dapat bersetuju untuk membuka pasaran masing-masing," katanya ketika menjadi ahli panel pada Pelancaran ASEANX dan Pelancaran Forum ASEANX, di sini, pada Jumaat.
Turut serta sebagai ahli panel ialah Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Malaysia (ASEAN-BAC), Tan Sri Nazir Razak.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata perbezaan saiz ekonomi turut mempengaruhi pendekatan negara anggota terhadap perjanjian perdagangan, dengan Brunei dan Singapura mempunyai ekonomi yang lebih terbuka berbanding negara yang mempunyai pasaran domestik lebih besar seperti Malaysia dan Indonesia.
Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu menambah, Indonesia yang mempunyai populasi kira-kira 280 juta orang berdepan pertimbangan berbeza dalam menentukan tahap keterbukaan pasaran menerusi perjanjian perdagangan.
Menurut beliau, perjanjian dua hala yang dimeterai Malaysia dengan pelbagai negara boleh menawarkan manfaat lebih ketara kepada industri dan ekonomi negara, namun pendekatan sedemikian tidak semestinya dapat diterapkan sepenuhnya dalam kerangka pelbagai hala ASEAN.
“Kita perlu mencari keseimbangan dalam perkara ini. Saya tidak fikir terdapat jawapan yang betul atau salah, tetapi perkara penting ialah perjanjian pelbagai hala itu perlu terus ditambah baik dan dinaik taraf,” jelasnya.
Beliau berkata penambahbaikan perjanjian sedia ada, termasuk Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) dan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-India, penting bagi memastikan kerjasama ekonomi serantau terus relevan.
Dalam pada itu, katanya, ASEAN perlu terus memperkukuh hubungan perdagangan dengan rakan ekonomi utama termasuk China, India dan Amerika Syarikat (AS), meskipun usaha mencapai persetujuan berdepan cabaran berikutan perbezaan keutamaan negara anggota.