IPOH: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan 30 individu dan merampas pelbagai jenis mineral dianggarkan bernilai RM31.7 juta dalam Ops Gali Mega, di Perak dan Kedah semalam.
Pemangku Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta ACP Jafri Muhamad berkata suspek termasuk 16 warga Myammar dan Indonesia berusia lingkungan 20 hingga 60 tahun, bekerja di empat premis pemprosesan dan tapak perlombongan.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati premis terbabit menjalankan aktiviti pemprosesan dan perlombongan mineral seperti silika, kaolin serta bijih besi tanpa kebenaran Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak serta Kedah.
“Serbuan turut menemukan sejumlah besar jentera, mesin, mineral jenis pasir silika, kaolin dan bijih besi yang disimpan di dalam beg jumbo.
“Antara yang dirampas 3,714 tan pasir silika siap diproses, 60 kilogram bijih besi siap diproses, 60 tan serbuk separa kaolin, pelbagai jenis mesin dan jentera,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Briged Utara di sini hari ini.
Jafri berkata kesemua barang kes berkaitan pemprosesan pasir silika dan bijih besi diserahkan kepada JMG untuk siasatan lanjut, di bawah Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Pelesenan) 2016.
Beliau berkata PTG Perak dan Kedah turut mengambil tindakan mengikut Seksyen 425 dan Seksyen 426 Kanun Tanah Negara 1965, berkaitan kesalahan menceroboh dan mengangkut bahan batuan tanpa kebenaran.
“Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN) menjalankan siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63 terhadap warga asing terlibat, membabitkan kesalahan tinggal tanpa dokumen sah serta menggaji pekerja tanpa permit.
“Majlis Perbandaran Kubang Pasu turut mengeluarkan dua notis di bawah Seksyen 19 (1) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 serta Seksyen 72(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,” katanya.
-- BERNAMA