Skip to main content

Malaysia

PM Anwar lawat Fadillah dan Ismail Sabri di IJN

BERNAMA
Anwar mendoakan agar kedua-duanya segera diberikan kesembuhan, dipermudah segala urusan rawatan serta terus dikurniakan keafiatan dan kekuatan untuk meneruskan khidmat kepada rakyat dan negara. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkesempatan menziarahi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) semalam.

Menurut Anwar, keadaan kesihatan Fadillah kini semakin baik, namun beliau masih memerlukan rehat secukupnya berdasarkan nasihat pasukan perubatan.

“Alhamdulillah, keadaan kesihatan beliau semakin baik,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook hari ini.

Dalam kunjungan sama, Anwar turut menziarahi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga sedang menjalani rawatan di IJN dan masih memerlukan pemantauan lanjut.

Anwar turut mendoakan agar kedua-duanya segera diberikan kesembuhan, dipermudah segala urusan rawatan serta terus dikurniakan keafiatan dan kekuatan untuk meneruskan khidmat kepada rakyat dan negara.

“Saya dan Azizah mendoakan agar kedua-duanya dikurniakan kesembuhan yang segera,” katanya lagi.

Pada 7 Ogos lalu, Ismail Sabri dilaporkan berjaya menjalani prosedur pemasangan perentak jantung tanpa wayar (leadless pacemaker) di IJN bagi merawat masalah ritma jantung tidak normal.

Susulan prosedur itu, beliau dinasihatkan untuk berehat dan kunjungan turut dihadkan kepada ahli keluarga terdekat bagi membantu proses pemulihan.

Sementara itu, Fadillah dilaporkan menjalani pembedahan pintasan jantung di IJN pada 3 Ogos lalu.

 

Must Watch Video

Advertisement