Ringkasan AI
- Kerajaan menegaskan setiap pinjaman baharu dibuat secara bertanggungjawab mengikut keperluan dan kemampuan membayar balik untuk mengelak beban hutang berlebihan.
- Nisbah hutang negara dijangka menurun daripada 64 peratus pada 2026 kepada 63.7 peratus pada 2027, menunjukkan komitmen terhadap kemampanan fiskal.
- Perdana Menteri menafikan hutang 1MDB telah dilunaskan sepenuhnya dan menekankan keperluan pengurusan fiskal berdisiplin dalam situasi ekonomi global mencabar.
PUTRAJAYA: Kerajaan menegaskan setiap pinjaman baharu negara dibuat secara bertanggungjawab berdasarkan keperluan dan kemampuan membayar balik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebuah kerajaan yang bertanggungjawab akan mengelakkan beban hutang berlebihan, sekali gus membebankan generasi akan datang.
Menurutnya, nisbah hutang negara juga dijangka menurun daripada 64 peratus pada 2026 kepada 63.7 peratus pada 2027, mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan kemampanan fiskal negara dalam jangka panjang.
“Ini memang menjadi kontroversi apabila melihat beberapa pandangan yang mengatakan jumlah hutang keseluruhannya bertambah. Betul, kerana hutang lama harus dibayar.
“Kerajaan yang bertanggungjawab hanya membuat pinjaman mengikut keperluan untuk mengurus ekonomi.
“Namun pada masa sama sentiasa merancang untuk masa hadapan. Kita tidak seharusnya membebankan generasi akan datang untuk menanggung perbelanjaan berlebihan generasi masa kini,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan bersama warga kementerian lain, di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, Anwar menafikan dakwaan bahawa keseluruhan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dilunaskan, sambil menegaskan komitmen berkaitan isu itu masih perlu diambil kira.
“Ada yang menyatakan hutang 1MDB sudah dibayar semua.
“Saya tidak tahu daripada kitab mana mereka baca, tetapi itu tidak betul. Hutang kita berserta kadar faedahnya masih perlu dibayar,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pengurusan fiskal yang bertanggungjawab amat penting dalam keadaan ekonomi global mencabar.
Ia termasuk ketika harga minyak mentah dunia meningkat daripada unjuran AS$70 setong kepada antara AS$110 hingga AS$120 setong, ujar Perdana Menteri lagi.
Anwar berkata kerajaan pada masa sama perlu menampung perbelanjaan besar untuk meringankan beban rakyat, termasuk subsidi minyak yang melibatkan tambahan kos RM40 bilion setahun serta peningkatan bantuan tunai dan gaji penjawat awam.
Selain itu, katanya cabaran kerajaan adalah memastikan komitmen tersebut dapat dipenuhi tanpa menjejaskan kedudukan fiskal negara.
Ia sekali gus menuntut disiplin perbelanjaan, pembanterasan ketirisan dan penambahbaikan tadbir urus.
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Apakah pendekatan kerajaan dalam membuat pinjaman baharu negara?
A: Kerajaan membuat pinjaman baharu secara bertanggungjawab berdasarkan keperluan dan kemampuan membayar balik untuk mengelakkan beban hutang berlebihan kepada generasi akan datang. - Q: Bagaimana kerajaan memastikan kemampanan fiskal negara dalam jangka panjang?
A: Kerajaan komited memastikan kemampanan fiskal dengan merancang penurunan nisbah hutang negara daripada 64 peratus pada 2026 kepada 63.7 peratus pada 2027 dan mengurus pinjaman secara berhemah. - Q: Adakah hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dilunaskan sepenuhnya?
A: Perdana Menteri menafikan dakwaan bahawa hutang 1MDB telah dibayar sepenuhnya dan menegaskan bahawa hutang beserta kadar faedahnya masih perlu dibayar. - Q: Apakah cabaran utama kerajaan dalam pengurusan fiskal ketika ini?
A: Cabaran utama adalah memastikan komitmen perbelanjaan seperti subsidi minyak, bantuan tunai, dan gaji penjawat awam dapat dipenuhi tanpa menjejaskan kedudukan fiskal negara. - Q: Apakah langkah yang diambil kerajaan untuk memastikan perbelanjaan negara terkawal?
A: Kerajaan menekankan disiplin perbelanjaan, pembanterasan ketirisan, dan penambahbaikan tadbir urus untuk memastikan perbelanjaan negara terkawal.