JOHOR BAHRU: Polis menahan 13 individu termasuk seorang remaja perempuan berumur 15 tahun bagi membantu siasatan kes kematian seorang remaja perempuan di Kulai, Selasa lepas, yang kini diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.
Ketua Polis Johor CP Datuk Ab Rahaman Arsad berkata Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerima maklumat orang awam berhubung kemalangan jalan raya melibatkan kereta Perodua Myvi hitam di Lingkaran Bulatan Persiaran Indahpura 4 kira-kira 12.38 tengah malam.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kenderaan itu dipandu lelaki berumur 20 tahun bersama-sama empat penumpang, termasuk mangsa berusia 17 tahun.
"Kesemua mereka yang baru keluar makan malam dalam perjalanan dari Jalan Kenanga, Indahpura menuju ke rumah masing-masing sebelum kenderaan mangsa diekori beberapa kenderaan, termasuk sebuah Toyota Vellfire hitam.
"Apabila tiba di bulatan berkenaan, kenderaan yang dinaiki mangsa dipercayai dilanggar Toyota Vellfire terbabit sehingga terbabas ke bahu jalan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini.
Ab Rahaman berkata rempuhan itu menyebabkan mangsa yang berada di kerusi hadapan penumpang tercampak keluar selepas pintu kereta rosak.
Beliau berkata hasil soal siasat mendapati mangsa kemudiannya dipercayai dilanggar oleh Toyota Vellfire berkenaan sebelum kenderaan itu melarikan diri, dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk bedah siasat.
Susulan kejadian, polis menahan tujuh lelaki dan seorang remaja perempuan berusia 15 hingga 31 tahun dalam serbuan pertama di Johor Bahru dan Selangor antara 25 hingga 26 Ogos.
Lima lagi lelaki berumur 16 hingga 29 tahun ditahan pada 27 Ogos di sekitar Johor Bahru.
Ab Rahaman berkata hasil semakan mendapati sembilan daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan air kencing kesemua 13 suspek adalah negatif dadah.
Polis turut merampas 12 telefon bimbit, sebuah kereta Kia Forte, van Toyota Vellfire, trak pikap Toyota Hilux, serta dua batang besi merangkumi cota dan besi besbol.
Beliau berkata Mahkamah Majistret membenarkan tahanan reman selama tujuh hari bermula 26 Ogos hingga 1 Sept bagi tujuh suspek, manakala seorang suspek direman dua hari bermula dari 27 hingga 28 Ogos.
Lima lagi suspek tangkapan susulan, katanya, dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai hari ini untuk permohonan reman.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan bagi kesalahan memiliki senjata dalam rusuhan, manakala Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor menjalankan siasatan selari di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau berkata kejadian dipercayai mempunyai kaitan dengan konflik keahlian antara dua kumpulan kongsi gelap di sekitar Johor Bahru, bagaimanapun motif sebenar masih dalam siasatan.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
-- BERNAMA