PUTRAJAYA: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Haji (TH) disambung reman empat hari lagi untuk membantu siasatan susulan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai institusi berkenaan.
Perintah sambungan reman yang dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah itu bermula pada Jumaat sehingga 31 Ogos ini.
Lanjutan reman terhadap lelaki berusia lingkungan 60-an itu dimohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis.
Ini susulan tempoh reman selama seminggu terhadap lelaki itu tamat hari ini, selepas individu berkenaan ditahan SPRM pada 21 Ogos lalu.
Bekas CEO TH itu bersama bekas Pengerusi Lembaga TH yang juga ahli politik bergelar Datuk Seri tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya jam 9.30 pagi Khamis untuk prosiding reman.
Seorang lagi individu yang turut berdepan prosiding sama ialah bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan di Kementerian Kewangan (MOF) bergelar Tan Sri.
Kesemua mereka tiba dalam keadaan tangan bergari dengan memakai baju reman SPRM berwarna jingga.
Proses reman bagi bekas Pengerusi Lembaga TH dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan itu susulan penahanan mereka jam 4 petang Rabu, selepas diarah hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Pada 14 Ogos lalu, tujuh individu ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung RCI itu.
Mereka terdiri daripada seorang bekas ketua pegawai eksekutif syarikat perkapalan, selain seorang pengarah syarikat pembinaan, seorang bekas pengarah syarikat serta empat bekas pengurusan kanan TH.