KUALA LUMPUR: KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Ribuan umat Islam di seluruh negara hari ini menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul 1448/2026 dengan menyertai perarakan dan mengalunkan selawat sebagai tanda kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Mengangkat tema "MADANI Dihayati, Ummah Diberkati", sambutan tahun ini bukan sahaja menghimpunkan umat Islam daripada pelbagai lapisan masyarakat, malah turut menyaksikan penyertaan agensi kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).
Bagi peringkat kebangsaan, sambutan yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, bersama-sama lebih 4,000 peserta termasuk kontinjen perarakan.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.
Dalam ucapan, Anwar berkata penghayatan terhadap Islam tidak seharusnya terhenti pada sambutan atau perarakan Maulidur Rasul sahaja, sebaliknya perlu diterjemahkan menerusi penghayatan kehidupan Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat kepada seluruh umat manusia.
Beliau berkata sambutan Maulidur Rasul perlu menjadi wadah untuk menyuntik semangat, kesedaran dan pencerahan dalam kalangan umat Islam.
Di SELANGOR, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Shah Alam.
Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Datuk Salehuddin Saidin serta Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohamad Fahmi Ngah.
Majlis itu dihadiri hampir 1,000 peserta dan turut menyaksikan Sultan Sharafuddin berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul kepada Hindon Abdullah, 84, yang merupakan figura gerakan dakwah muslimah serta pembangunan institusi keluarga dan masyarakat di Selangor.
Di NEGERI SEMBILAN, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta putera baginda, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Sembilan di sebuah hotel.
Undang Luak Sungai Ujong Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari, Undang Luak Rembau Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim turut hadir.
Bagaimanapun, perarakan yang melibatkan 4,000 peserta daripada 74 kontinjen merangkumi agensi kerajaan dan swasta, institut pengajian tinggi awam, pelajar serta Orang Kurang Upaya (OKU) terpaksa dihentikan susulan hujan lebat berterusan pagi tadi.
Di JOHOR, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi mengetuai perarakan melibatkan 5,000 peserta bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Batu Pahat.
Sebanyak 50 kontinjen berarak sejauh satu kilometer dari pekarangan Pejabat Daerah Batu Pahat sehingga Masjid Sultan Ismail, dengan Majlis Bandaraya Johor Bahru yang menghantar 200 peserta dinobatkan sebagai kontinjen dengan penyertaan paling ramai.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Mohd Fared Mohd Khali, Mufti Negeri Johor Datuk Yahya Ahmad dan barisan jawatankuasa kerajaan negeri turut menyertai perarakan berkenaan.
Di TERENGGANU, Pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul yang turut disertai Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pada majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 tetamu itu, baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Sukarelawan Ummah kepada pertubuhan komuniti Gong Tok Nasek Care serta aktivis Misi Flotilla Kemanusiaan Antarabangsa Muhd Asmawi Mukhtar@Awang.
Anugerah Pengkarya Islamik pula dianugerahkan kepada Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi.
Di KEDAH, Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Wisma Darulaman bersama-sama Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran, titah ucapan Tuanku Sultan, tayangan video khas Maulidur Rasul serta persembahan marhaban dengan lebih 500 orang hadir memeriahkan sambutan.
Sultan Sallehuddin turut berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Imam kepada Imam Masjid Jame’ As-Shahab Kepala Batas Che Ismail Bakar, manakala mantan Mufti Kedah Datuk Paduka Syeikh Hasbullah Abdul Halim menerima Anugerah Khas peringkat negeri.
Sementara itu di PERAK, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Pusat Konvensyen Casuarina, Ipoh.
Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah turut berangkat pada sambutan itu yang juga dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubin.
Kira-kira 2,000 hadirin memeriahkan majlis yang diserikan dengan alunan zikir Asmaul Husna, bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan selawat beramai-ramai.
Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan anugerah kepada beberapa tokoh Maulidur Rasul tahun ini, antaranya pengarah dan pelakon veteran Datuk Rahim Razali yang menerima Anugerah Zaid Bin Thabit (Tokoh Pengamal Komunikasi dan Media).
Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam mengetuai perarakan Maulidur Rasul yang melibatkan hampir 7,000 peserta daripada 101 kontinjen, bermula dari Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit ke Dataran Pusat Islam, Bukit Baru.
Perarakan itu turut disertai Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.
Di PULAU PINANG, Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib dan isteri Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah menghadiri sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Masjid Daerah Seberang Perai Selatan dengan diiringi Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.
Pada sambutan itu, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Zulkifli Long dinobatkan Tokoh Maulidur Rasul peringkat negeri, tahun ini.
Penerima anugerah lain ialah Pengarah Urusan RCAB Food Venture Sdn Bhd Rohaya Che Abu Bakar bagi Qudwatur Rasul (Usahawan), Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Muhammad Adam Abdullah yang menerima Qudwatur Rasul (Saudara Kita) dan Ketua Pegawai (Penyelidik) Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang Mohd Salmi Shaimi yang dianugerahkan Qudwatur Rasul (Khas).
Terdahulu, sebanyak 44 kontinjen bersama-sama 1,320 peserta daripada agensi kerajaan, badan beruniform dan NGO menyertai perarakan sejauh 300 meter bermula dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jawi ke Masjid Daerah Seberang Perai Selatan.
Di PAHANG, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan menghadiri sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan.
Bekas Pegawai Kewangan Negeri Pahang Datuk Norzan Ahmad dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul Pahang Tahun 2026/1448, sekali gus membawa pulang sijil penghargaan, plak dan hadiah wang tunai RM10,000.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli negeri Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Nazri Abu Bakar dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman.
Di SABAH, Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu.
Hadir sama, isteri beliau Toh Puan Faridah Tussin, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya, Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Masidi Manjun serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif yang juga pengerusi jawatankuasa induk sambutan.
Lebih 10,000 hadirin memeriahkan majlis itu, yang sebelumnya turut berarak melibatkan 96 kontinjen dari Padang Merdeka ke SICC.
Di KELANTAN, sambutan Maulidur Rasul dan Bulan Kebangsaan di Masjid Al Taqwa, Kubang Kerian turut dimeriahkan dengan penyertaan lebih 20 ekor kuda dan kira-kira 400 peserta.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Seri Pulau Mat Zohari Abdullah berkata penyertaan kuda dalam perarakan itu tercetus hasil cadangan seorang penternak haiwan itu di kawasan berkenaan yang mahu menyumbang bagi menjayakan program.
Beliau berkata kehadiran kuda turut mempunyai nilai simbolik kerana haiwan berkenaan adalah antara tunggangan yang digunakan sejak zaman Rasulullah SAW, selain mempunyai pelbagai fungsi dalam kehidupan masyarakat terdahulu.
-- BERNAMA