GOMBAK: Projek pelebaran Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) bernilai RM2.1 bilion akan meningkatkan kapasiti laluan di sempadan Selangor-Pahang, sekali gus melancarkan perjalanan pengguna terutama ketika waktu puncak dan musim perayaan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek itu selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan mampan, tadbir urus yang baik serta penyampaian perkhidmatan berorientasikan rakyat.
"Projek itu melibatkan pelebaran sepanjang 45.3 kilometer dan pembinaan terowong ketiga Genting Sempah sepanjang 999 meter.
"Projek strategik itu merentasi Selangor dan Pahang, dengan kerja pelebaran melibatkan laluan dari KM19.2 berhampiran Plaza Tol Gombak hingga KM64.5 di Persimpangan Mempaga, Bentong.
"Kerja fizikal projek bermula pada 9 Mac 2026 selaras dengan Tarikh Mula Pembinaan (CCD) yang diluluskan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), dan disasarkan siap sepenuhnya pada 2029.
"Terowong baharu itu akan dibina menggunakan kaedah New Austrian Tunnelling Method (NATM) dan beroperasi bersama terowong arah Barat yang dibuka pada 1978 serta terowong arah Timur yang dibuka pada 1996," katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah di KM36.9 Lebuhraya KLK arah Timur, pada Khamis.
Lebuhraya KLK kini merekodkan purata lebih 135,000 kenderaan sehari, berbanding sekitar 41,000 kenderaan sehari pada 1997, menunjukkan peningkatan lebih tiga kali ganda dalam tempoh kurang tiga dekad.
Mengulas lanjut, Alexander berkata: “Pembangunan infrastruktur tidak boleh diukur hanya melalui berapa banyak jalan, jambatan atau terowong yang kita bina. Ukuran sebenar ialah sejauh mana pembangunan itu meningkatkan keselamatan, keselesaan, kesejahteraan dan peluang kepada rakyat.
“KKR juga akan terus memperkukuh pendekatan responsif melalui MyJalan, supaya rakyat dapat terus menyalurkan aduan dan maklum balas berkaitan keadaan jalan dan kemudahan infrastruktur,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan AFA, Tan Sri Azmil Khalid berkata, tanggungjawab syarikat terhadap lebuh raya berkenaan tidak berakhir selepas kerja pembinaan siap, sebaliknya berterusan sepanjang tempoh konsesi sehingga 2069.
“Melalui Perjanjian Konsesi Tambahan Ke-6, AFA Group terikat dengan lebuh raya ini sehingga tahun 2069.
“Tanggungjawab kami tidak berakhir apabila kerja pembinaan siap, sebaliknya berterusan sepanjang tempoh konsesi,” katanya.