SEREMBAN: Kira-kira 7,000 pengunjung dijangka menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) pada 14 Nov ini, dari 11 pagi hingga 4 petang.
Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, kerajaan negeri turut menambah peruntukan sebanyak RM70,000 bagi penganjuran Karnival Deepavali tahun ini berbanding RM30,000 pada tahun lepas.
Beliau berkata, pelbagai juadah yang mewakili kepelbagaian kaum dan budaya, khususnya makanan tradisional masyarakat India, akan disediakan pada majlis itu bagi membolehkan pengunjung menikmati aneka hidangan dalam suasana penuh muhibah.
“Kerajaan negeri menjemput semua rakyat Negeri Sembilan datang beramai-ramai untuk meraikan perayaan Deepavali bagi menyemarakkan semangat muhibah dalam kalangan masyarakat.
"Matlamat kita adalah memastikan setiap perayaan dapat disambut dalam suasana meriah, harmoni dan penuh kegembiraan bagi mengeratkan hubungan antara masyarakat serta memperkukuh perpaduan yang sedia terjalin,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Deepavali 2026 di sini.
Ismail berkata, peruntukan turut disalurkan ke kawasan luar bandar termasuk estet bagi memastikan program serta penyerahan sumbangan bersempena dengan Deepavali dapat dinikmati masyarakat India yang memerlukan.
“Kita mahu memastikan tiada seorang pun masyarakat tercicir daripada menikmati bantuan dan kemudahan yang disediakan kerajaan negeri,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, cadangan mewartakan kawasan Dato Lee Fong Yee sebagai Little India Seremban akan dibincangkan secara terperinci bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban sebelum sebarang keputusan dibuat.
Beliau berkata, kawasan berkenaan, yang sebelum ini dikenali dalam kalangan masyarakat tempatan sebagai Little India, berpotensi dibangunkan sebagai satu daripada kawasan tumpuan pelancongan di negeri ini.
– BERNAMA