KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan mengesahkan beliau akan didakwa di Mahkamah Seksyen di sini, berhubung isu pengambilan pekerja asing.
Dalam rakaman video berdurasi lima minit tiga saat, Saravanan menegaskan, beliau tidak melakukan sebarang kesalahan dan bersedia menghadapi pertuduhan di mahkamah.
"Esok saya akan didakwa di mahkamah atas kesalahan yang saya tidak lakukan.
"Isu ini berlaku pada sekitar 2022 ketika negara masih berdepan kesan pandemik COVID-19 yang menjejaskan operasi pelbagai sektor industri.
"Ketika saya menjadi menteri (Menteri Sumber Manusia), yang mana kebanyakan industri memerlukan pekerja asing untuk bangkit semula.
"Dengan ikhlas dan tanpa mengharapkan sebarang balasan, saya mengambil inisiatif membangunkan portal dalam talian bagi memudahkan proses pengambilan pekerja asing," katanya dalam bahasa Tamil menerusi video berkenaan.
Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah itu berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan bagi membantu industri mendapatkan pekerja selepas terjejas akibat pandemik, selain memudahkan urusan melalui platform dalam talian.
Menurutnya, beliau kemudiannya mengetahui namanya dikaitkan dengan isu berkenaan selepas berlaku beberapa perkembangan membabitkan individu tertentu.
Menurutnya, perkara itu turut disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2023.
"Jika saya melakukan kesalahan, mereka mungkin sudah menjelaskan kepada saya atau menyiasat saya ketika itu.
"Tetapi pada 2023, perkara itu dihentikan dan kini selepas beberapa tahun, ia timbul semula," katanya.
Beliau turut menegaskan tidak pernah berkomunikasi atau berurusan dengan pihak yang kini dikaitkan dengan kes berkenaan.
Saravanan berkata, beliau tetap menghormati proses undang-undang dan mempunyai keyakinan terhadap kerajaan serta sistem perundangan negara.
"Saya mempunyai kepercayaan terhadap kerajaan negara ini. Saya bersedia menghadapi proses ini secara rasmi.
Beliau turut memohon supaya prosiding kes berkenaan dipercepatkan dan tidak ditangguhkan.
Difahamkan, Saravanan dijangka berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Dalam pada itu, menerusi surat bertarikh 24 Ogos yang dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau menafikan sebarang penglibatan secara peribadi mahupun membabitkan ahli keluarganya dalam urusan pengambilan pekerja asing.
Beliau turut melahirkan kekesalan terhadap dakwaan yang disifatkannya tidak berasas serta menegaskan kesediaannya untuk menghadapi proses perundangan berhubung perkara itu.
Dalam surat itu, beliau memaklumkan bahawa Nota Jemaah Menteri bertarikh 13 April 2022 turut menjelaskan Menteri Sumber Manusia tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan pengambilan pekerja asing.
Sebaliknya, beliau berkata, sebuah pusat sehenti khas (OSC) yang membabitkan pelbagai kementerian ditubuhkan bagi mempercepatkan proses pengambilan pekerja asing.
"Dalam tempoh saya berkhidmat sebagai Menteri Sumber Manusia, segala permohonan pengambilan pekerja asing dibuat menerusi sistem Foreign Workers Centralised Management System (FWCMS)," ujarnya.
"Mana-mana syarikat yang ingin mengambil pekerja asing hanya boleh membuat permohonan menerusi sistem berkenaan sebelum pemilihan syarikat yang layak menghadiri sesi temu duga dibuat secara automatik," katanya dalam satu surat diutus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Saravanan memaklumkan, sebaik sahaja sistem memilih, ia akan panjangkan senarai tersebut kepada OSC di bawah Kementerian Sumber Manusia.