SHAH ALAM: Semua sekolah di Selangor akan beroperasi seperti biasa esok, menurut Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.
JPN Selangor menerusi kenyataan hari ini turut meminta semua pihak supaya terus mengutamakan aspek kesihatan dan keselamatan murid serta warga sekolah susulan keadaan jerebu.
“Murid yang hadir ke sekolah digalakkan memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga, khususnya bagi mereka yang sensitif terhadap keadaan jerebu.
“Pihak sekolah, ibu bapa dan penjaga juga disarankan supaya sentiasa peka terhadap perkembangan kualiti udara dan mematuhi arahan serta langkah berjaga-jaga yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan ibu bapa atau penjaga yang bimbang mengenai tahap kesihatan anak-anak bagaimanapun dibenarkan untuk tidak menghantar mereka ke sekolah tetapi perlu memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.
“Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan melalui saluran rasmi jabatan serta pihak sekolah bagi mendapatkan maklumat yang sahih dan terkini,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA