Skip to main content

Malaysia

Mafia korporat: Sistem kurang telus sejak puluhan tahun antara punca - PM

Anwar  berkata usaha membanteras kegiatan jenayah korporat memerlukan ketelusan serta penguatkuasaan berkesan, termasuk dalam mengawal selia syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia - Foto BERNAMA
Anwar berkata usaha membanteras kegiatan jenayah korporat memerlukan ketelusan serta penguatkuasaan berkesan, termasuk dalam mengawal selia syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia - Foto BERNAMA

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sistem pengurusan yang kurang telus antara kerajaan dan sektor korporat sejak puluhan tahun lalu dipercayai menjadi antara punca berlakunya jenayah korporat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu termasuk membabitkan manipulasi pasaran saham, pelanggaran tadbir urus serta penipuan.

Sehubungan itu, beliau berkata usaha membanteras kegiatan berkenaan memerlukan ketelusan serta penguatkuasaan berkesan, termasuk dalam mengawal selia syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.

Beliau memberikan contoh beberapa kes lampau, termasuk Multi-Purpose Holdings Bhd (MPHB), RHB Bank dan BSN Commercial Bank, yang menurutnya memperlihatkan isu pengambilalihan syarikat serta perubahan pemilikan yang dikaitkan dengan kepentingan pihak tertentu.

"Kita mewarisi satu sistem yang kurang telus. Ahli-ahli Yang Berhormat yang mengikuti perkembangan sejak tahun 1980-an, 1990-an hingga sekarang mengetahui bagaimana beberapa syarikat besar, umpamanya MPHB, dipaksa menjual aset dan diambil alih oleh pihak tertentu, sebelum dijual semula oleh pihak yang diketuai Tan Sri Wan Azmi dan Chan Chin Chew.

"Semua ini berkait dengan pertikaian kewangan yang melibatkan jumlah wang yang besar. Pada waktu itu, perkara sedemikian jarang dikaitkan dengan jenayah korporat. Kita tidak faham," katanya pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) mengenai perkembangan terkini dakwaan kegiatan 'mafia korporat', membabitkan pelanggaran hukum dan tindakan yang diambil.

Beliau turut membangkitkan kes RHB Bank yang dibangunkan oleh Tan Sri Rashid Hussain sebelum beliau terpaksa melepaskan pegangan dalam institusi berkenaan.

Anwar juga menyentuh isu BSN Commercial Bank dalam konteks penyatuan sektor perbankan yang  menimbulkan persoalan berkaitan kepentingan pihak tertentu.

Beliau menambah, pengalaman beberapa dekad lalu menunjukkan pertikaian kewangan membabitkan syarikat besar dan institusi perbankan tidak semestinya ditangani sebagai jenayah korporat pada ketika itu.

Sehubungan itu, Anwar (PH-Tambun) menegaskan agensi seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), perlu menjalankan tanggungjawab secara telus serta bertanggungjawab.

Must Watch Video

Advertisement