Ringkasan AI
- Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis mencatat kadar penyalahgunaan dadah tertinggi, hampir dua kali ganda berbanding kadar nasional.
- Laluan penyeludupan rentas sempadan dikenal pasti sebagai faktor risiko utama, mendorong keperluan intervensi berfokus di negeri-negeri terlibat.
- AADK mempergiat operasi penguatkuasaan dan pencegahan, dengan peningkatan ketara individu mendapatkan rawatan secara sukarela tahun ini.
KUALA LUMPUR: Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis mencatat kadar penyalahgunaan dadah tertinggi negara, dengan angka hampir dua kali ganda berbanding kadar nasional.
Lebih membimbangkan, laluan penyeludupan rentas sempadan dikenal pasti antara faktor risiko yang mempengaruhi masalah dadah di negeri terbabit.
Menurut Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Terengganu merekodkan kadar tertinggi iaitu 735 orang bagi setiap 100,000 penduduk, diikuti Kelantan (694), Kedah (669) dan Perlis (646).
Angka itu jauh mengatasi kadar nasional sebanyak 381 orang bagi setiap 100,000 penduduk, dengan 130,307 kes direkodkan sehingga Jun lalu.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, keadaan itu memerlukan intervensi lebih berfokus, khususnya di kawasan berisiko tinggi.
"Kedudukan empat negeri ini memberikan gambaran mengenai tahap penagihan dan penyalahgunaan dadah yang memerlukan perhatian serta intervensi berfokus," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, AADK mempergiat penguatkuasaan dan program pencegahan dengan memberi tumpuan kepada institusi pendidikan, keluarga serta komuniti.
Sehingga 18 Oktober, sebanyak 4,253 operasi penguatkuasaan dilaksanakan di seluruh negara, dengan 30,157 individu ditahan untuk menjalani rawatan dan pemulihan.
Dalam perkembangan positif, purata individu mendapatkan rawatan secara sukarela meningkat lebih tiga kali ganda, daripada 75 orang sebulan pada 2025 kepada 232 orang tahun ini.
Peningkatan itu menyusuli penguatkuasaan pindaan Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pada 22 Ogos tahun lalu.
AADK akan terus menggunakan data bersepadu bagi mengenal pasti kawasan berisiko dan memperkukuh kerjasama dengan kerajaan negeri dalam menangani penyalahgunaan dadah.