Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] PRN Melaka: Pusat Penamaan Calon Bukit Katil saksikan 'tiga penjuru acara'

Petugas SPR melakukan persiapan bagi proses penamaan calon PRN Melaka ke-16 yang bermula pada 9 pagi di Pusat Penamaan Calon Dewan Tun Ali, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Bukit Katil, hari ini. --fotoBERNAMA
Petugas SPR melakukan persiapan bagi proses penamaan calon PRN Melaka ke-16 yang bermula pada 9 pagi di Pusat Penamaan Calon Dewan Tun Ali, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Bukit Katil, hari ini. --fotoBERNAMA

Advertisement

Advertisement

MELAKA: Jika kebiasaannya pusat penamaan calon hangat dengan keriuhan penyokong parti politik yang bakal bertanding, namun suasana di pekarangan Pusat Penamaan Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil hari ini sedikit berbeza apabila turut berlangsung dua acara lain yang mencuri perhatian.

Selain “pertandingan” politik melibatkan calon yang bakal berentap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, kawasan pusat penamaan calon di Dewan Tun Ali, Bukit Katil, di sini, turut dimeriahkan dengan perlawanan bola sepak kanak-kanak dan persiapan majlis kenduri kahwin.

Suasana itu sekali gus menyaksikan tiga acara dengan matlamat berbeza berlangsung di lokasi yang sama, iaitu persaingan mendapatkan sokongan pengundi, aksi memburu kemenangan di atas padang serta persiapan meraikan pasangan pengantin.

Advertisement

Perlawanan bola sepak itu merupakan sebahagian daripada Liga Super Rimau Melaka yang membabitkan 12 pasukan bagi kategori lapan dan 10 tahun.

Pembantu kru, Afiz Abdul Ghani berkata liga yang disertai keseluruhan 35 pasukan itu telah berlangsung sejak tiga bulan lepas dan dijadualkan berakhir pada 15 Nov ini.

Advertisement

“Mereka ini kebanyakan pasukan dari Melaka dan ada juga dari Johor,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata juara liga berkenaan akan mewakili Melaka ke peringkat kebangsaan kelak.

Sementara itu, sebuah khemah turut didirikan berhampiran kawasan berkenaan bagi persiapan majlis kenduri kahwin, menambah lagi kepelbagaian aktiviti yang berlangsung pada hari penamaan calon.

Calon dan penyokong parti bertanding mula memenuhi lokasi berkenaan pada 8.30 pagi, sebelum proses penamaan calon bermula pada 9 hingga 10 pagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal pada 10 Nov.

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement