KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada arahan dikeluarkan untuk menangguh atau menghentikan siasatan berhubung kes penyelewengan membabitkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Perdana Menteri berkata siasatan berkenaan mengambil masa bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum tindakan lanjut, termasuk pendakwaan, dipertimbangkan.
Beliau berkata isu Felda telah dimaklumkan kepada Jemaah Menteri dan tiada pihak menghalang siasatan, sebaliknya semua pihak diminta memastikan proses itu dilaksanakan secara telus.
"Mengapa kini? Sebenarnya, kertas putih telah dibentangkan pada 2019, tetapi tiada tindakan diambil sehingga kita mengambil alih pada 2022.
"Selepas itu, barulah saya mengambil tindakan untuk membuka semula perkara ini. Sebelum itu, beberapa tindakan telah kita laksanakan, termasuk menubuhkan Jawatankuasa Petugas Khas Felda. Proses itu mengambil masa kira-kira setahun dan kertas siasatan dibuka.
"Jadi, tiada penangguhan. Cuma 'timing' dianggap baru sekarang, tetapi sebenarnya tidak," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas), yang ingin mengetahui mengapa pendakwaan berkaitan isu Felda hanya dilakukan sekarang sedangkan urus niaga yang dipertikaikan berlaku antara 2010 hingga 2020.
Mengulas isu berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH), Anwar berkata anggota Jemaah Menteri sedia maklum mengenai perkara itu, termasuk maklumat yang dibentangkan ketika pentadbiran terdahulu dan selepas kerajaan pimpinannya mengambil alih pentadbiran negara.
Beliau berkata kerajaan ketika itu meminta perkara berkenaan dibentangkan kepada Jemaah Menteri, manakala pihak pengurusan TH memohon supaya tindakan tertentu tidak diambil sehingga proses pemulihan dilaksanakan.
Anwar menjelaskan siasatan tetap diteruskan meskipun terdapat kelewatan selama dua tahun, sambil menegaskan bahawa proses berkenaan tidak dihentikan.