IPOH: Tiga lelaki ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes kecurian kabel dipercayai milik Telekom Malaysia (TM) di sebuah kebun di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Muhammad Najib Hamzah berkata ketiga-tiga suspek warga tempatan berusia 20 hingga 38 tahun itu ditahan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) D4, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, kira-kira 5.30 pagi.
“Dalam operasi tersebut, polis turut merampas 65 batang kabel pelbagai saiz dipercayai milik TM, sebuah Toyota Hilux berwarna putih, sebuah honda civic berwarna kelabu serta beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri kabel.
“Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini bagi tujuan permohonan reman untuk membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Muhammad Najib berkata polis akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti penglibatan suspek dalam kes lain serta mengesan kemungkinan rangkaian kegiatan curi kabel di sekitar daerah Ipoh.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
-- BERNAMA