Skip to main content
Advertisement

Malaysia

TNB zahir simpati kemalangan babitkan orang awam dan pekerjanya

Tiga sekeluarga maut dalam satu kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Bukit Bauk, petang semalam. - Foto polis/Sinar Harian
Tiga sekeluarga maut dalam satu kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Bukit Bauk, petang semalam. - Foto polis/Sinar Harian

Advertisement

KUALA TERENGGANU: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menzahirkan rasa dukacita dan simpati kepada dua pekerjanya yang cedera serta tiga sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Bukit Bauk berhampiran Simpang Durian Mentangau di Dungun petang semalam.

TNB dalam kenyataan hari ini mengesahkan kemalangan melibatkan sebuah kenderaan awam dan kenderaan pasukan kerja. 

“TNB menzahirkan rasa dukacita dan simpati kepada semua yang terlibat, khususnya keluarga tiga orang awam yang terkorban dalam kejadian tersebut,” menurut kenyataan itu.

 TNB juga menyatakan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung siasatan kejadian tersebut.

Selain itu, syarikat tersebut juga akan memastikan kedua-dua pekerjanya yang cedera mendapat rawatan serta sokongan perubatan sewajarnya.

Dalam kejadian kira-kira 5.15 petang semalam, tiga sekeluarga maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan kenderaan pacuan empat roda milik TNB.

Tiga mangsa maut ialah pasangan suami isteri Mohamad Zulkefli Ishak, 32, isterinya Norshila Zali, 36, dan adik kepada Mohamad Zulkefli, Muhammad Alif Syukri Ishak, 18.

Dua pekerja TNB iaitu Mohamad Syafiq Nasrullah Said, 39, dan Muhammad Fadhlan Abd Manan, 32, mengalami cedera ringan.            

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement