PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr Hasmah Mohd Ali mencipta sejarah apabila diiktiraf sebagai pasangan pertama bekas ketua kerajaan dan pasangan yang kedua-duanya menjadi perabad (centenarian) yang masih hidup di Asia.
Pengiktirafan menerusi Asia Records itu merupakan satu daripada tiga rekod rasmi yang diterima pasangan berkenaan dalam satu majlis di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada Selasa.
Dr Mahathir, 101, turut diiktiraf ASEAN Records sebagai Bekas Perdana Menteri Tertua yang Masih Hidup, manakala Dr Hasmah, 100, pula menerima rekod Pasangan Bekas Perdana Menteri Tertua yang Masih Hidup.
Rekod ketiga yang dianugerahkan kepada kedua-duanya oleh Asia Records ialah Bekas Ketua Kerajaan dan Pasangan Pertama yang kedua-duanya menjadi Centenarian yang Masih Hidup.
Pada 12 Julai lalu, usia gabungan pasangan itu mencecah 201 tahun, selain mereka telah melayari alam perkahwinan selama 70 tahun sejak 5 Ogos 1956.
Pencapaian itu hadir dalam bulan yang cukup istimewa bagi pasangan berkenaan apabila Dr Mahathir menyambut ulang tahun kelahiran ke-101 pada 10 Julai, diikuti Dr Hasmah yang genap 100 tahun pada 12 Julai sementara sambutan ulang tahun perkahwinan ke-70 pada 5 Ogos lalu.
Kisah pasangan itu bermula pada 1947 apabila kedua-dua mereka yang mengikuti pengajian perubatan bertemu di King Edward VII College of Medicine.
Mereka berkahwin pada 1956 dan membesarkan tujuh anak sebelum kedua-duanya melalui perjalanan panjang dalam kehidupan bersama serta berkhidmat kepada negara di peringkat tertinggi.
Dr Mahathir berkhidmat sebagai Perdana Menteri selama 24 tahun menerusi dua penggal tidak berturut-turut, iaitu dari 1981 hingga 2003 dan 2018 hingga 2020.
Dalam tempoh sama, Dr Hasmah berkhidmat selama 24 tahun sebagai wanita pertama negara bagi tempoh 1981 hingga 2003 dan 2018 hingga 2020.
Pasukan pengadil yang menjalankan proses pengesahan mendapati tiada pencapaian setara yang didokumentasikan secara terbuka di rantau ASEAN dan pasaran utama Asia.
Sijil berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Penasihat, Tan Sri Datuk Danny Ooi, dengan diiringi Ketua Pengadil ASEAN Records dan Asia Records, Gillian Ooi serta Eldrick Koh. - Sinar Harian