KUALA LUMPUR: Wartawan senior Astro AWANI, Mohd Zalani Md Atan, 66, meninggal dunia selepas mengadu sakit kepala dan kemudian rebah di kediamannya, di Kuantan, pada petang Isnin.
Isterinya, Suaibatul Aslmiah Abu Bakar, 52, berkata, Allahyarham demam dan mengalami kesukaran untuk berjalan beberapa hari sebelum dijemput Ilahi.
"Pagi tadi, keadaan arwah agak lemah, tetapi masih boleh bersembang dengan saya dan ada selera makan.
"Dalam dua tiga hari ini, arwah nampak biasa sahaja, tiada pesanan atau nasihat yang ditinggalkan kepada saya dan anak-anak.
"Arwah ada darah tinggi dan kencing manis," ujar Suaibatul ketika dihubungi Astro AWANI, pada Isnin.
Allahyarham meninggalkan empat orang cahaya mata, tiga hasil rumah tangga bersama Suaibatul dan seorang dari perkahwinan sebelumnya.
"Dua anak kami sudah bekerja, masing-masing 26 dan 28 tahun. Seorang lagi masih bersekolah tingkatan tiga, anak perempuan bongsu," kata Suaibatul.
Arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Hutan Setali, selepas Isyak, pada Isnin.
Allahyarham menabur bakti bersama Astro AWANI sejak awal penubuhan saluran berita ini pada tahun 2007.