Skip to main content

Malaysia

Walaupun bekas pengerusi sudah jalani hukuman, PM perlu terus arah siasatan Felda- Zahid

PUTRAJAYA, 7 Dis -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir pada Sesi Townhall sempena program Rancakkan MADANI bersama Malaysiaku di Dataran Putrajaya, di sini hari ini.   --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tanggungjawab untuk meneruskan siasatan perlu diambil oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun bekas Pengerusi Felda telah menjalani hukuman. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerugian berjumlah kira-kira RM9 bilion yang ditanggung Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) tidak boleh dibiarkan, justeru memerlukan siasatan terperinci termasuk audit forensik, sekiranya terdapat unsur penyalahgunaan kuasa atau tatakelola yang tidak diikuti.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tanggungjawab untuk meneruskan siasatan perlu diambil oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun bekas Pengerusi Felda telah menjalani hukuman.

“Kehilangan atau kerugian RM9 bilion tidak boleh ditoleransikan dan pada hemat saya biarlah tanggungjawab ini diambil oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk melakukan siasatan walaupun mantan Pengerusi FELDA (Tan Sri Isa Samad) telah menjalani hukuman," katanya selepas merasmikan Ekspo Pelancongan dan Perdagangan Islam Dunia (WITEX) serta Festival Seni dan Kebudayaan Dunia, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau mengalu-alukan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sekiranya terdapat salah laku, susulan permasalahan Felda yang telah berlarutan sekian lama.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, siasatan tidak seharusnya terhad kepada audit pengurusan, sebaliknya perlu melibatkan audit forensik bagi memastikan kepentingan warga Felda terus dipelihara.

“Yang penting bukan hanya management auditing tetapi forensic auditing mesti dilakukan sebab 225,000 peneroka Felda dan generasi Felda daripada generasi pertama hingga kelima sekarang ini berjumlah tidak kurang daripada 1.8 juta orang yang terlibat secara langsung atau tidak langsung... mesti kita santuni agar kepentingan mereka yang menjadi warga Felda ini dapat terus dipertahankan kebajikannya oleh pihak kerajaan," katanya.

Ahmad Zahid berkata, pihak yang bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan sekiranya terdapat bukti kukuh, namun proses berkenaan tidak seharusnya disertai penganiayaan atau usaha memalukan mana-mana individu.

“Dan tentunya mereka yang bertanggungjawab harus dibawa ke muka pengadilan jika didapati mereka mempunyai mungkin bukti yang kukuh tetapi jangan lakukan penginaian atau kezaliman atau berhasrat untuk memalukan mana-mana individu sebagaimana yang pernah dilakukan," katanya.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah supaya siasatan berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) serta isu semasa Felda dilaksanakan secara menyeluruh.

Baginda turut menegaskan supaya tiada kompromi diberikan terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan berdasarkan hasil siasatan.

Susulan itu, Anwar berkata kerajaan akan memastikan proses penelitian itu diselesaikan dengan sewajarnya sebelum keputusan mengenai tindakan lanjut dibuat.

Bekas Pengerusi Felda, Datuk Mohd Isa, 76, kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lalu membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan pembebasannya dan mengembalikan sabitan serta hukuman penjara dan denda terhadapnya.

Pada 3 Feb 2021, Mahkamah Tinggi mendapati beliau bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta dengan tambahan hukuman penjara dua tahun sekiranya gagal membayar denda berkenaan

Bagaimanapun, Mohd Isa yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan terbabit oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Mac 2024, sebelum pihak pendakwaan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Pada 2018, Mohd Isa didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3.09 juta untuk dirinya melalui bekas pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md Arip, daripada bekas Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel.

Suapan itu sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 49, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur, antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.

 

Must Watch Video

Advertisement