Ringkasan AI
- Kerajaan membezakan Waze dan Google Maps berdasarkan bidang kuasa undang-undang, dengan Waze tertakluk kepada undang-undang Israel dan Google Maps kepada Amerika Syarikat.
- Ketua Eksekutif NACSA menegaskan tiada jaminan mutlak keselamatan siber walaupun Google Maps tertakluk kepada akauntabiliti sebagai entiti komersial.
- Aplikasi navigasi tempatan TuJu mencatat lebih 700,000 muat turun sejak Rabu, dengan versi kedua menawarkan pelbagai ciri baharu untuk pengguna.
CYBERJAYA: Walaupun Waze dan Google Maps sama-sama menggunakan data pengguna, kerajaan membezakan kedua-dua aplikasi navigasi itu berdasarkan bidang kuasa undang-undang yang terpakai kepada perkhidmatan berkenaan.
Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata terdapat perbezaan yang jelas dari segi bidang kuasa apabila Waze terikat kepada undang-undang Israel, manakala Google Maps tertakluk kepada perundangan Amerika Syarikat.
“Keputusan untuk kita terhadap Waze adalah kerana dari segi aspek perundangan tersebut, Waze masih berpangkalan di Israel dan terikat kepada undang-undang Israel.
“Manakala Google Maps berpangkalan di California dan terikat dengan undang-undang Amerika Syarikat,” katanya dalam sidang media, di sini, pada Khamis.
Mengulas kebimbangan pengguna bahawa Google Maps turut mengumpul data lokasi, Megat berkata, sekurang-kurangnya Google tertakluk kepada akauntabiliti sebagai entiti komersial, dengan sebarang pelanggaran kepercayaan pengguna berpotensi menjejaskan perniagaannya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tiada jaminan mutlak dalam aspek keselamatan siber, termasuk bagi penggunaan perkhidmatan digital.
Dalam perkembangan berkaitan, aplikasi navigasi tempatan TuJu kini mencatatkan lebih 700,000 muat turun sejak Rabu susulan peningkatan penggunaan aplikasi itu sebagai alternatif kepada Waze dan Google Maps.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Ir Mohammed Ridzuan Jahidin berkata pihaknya cakna dengan cadangan pengguna dan berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan TuJu.
“Banyak ciri yang sangat membantu pengguna, misalnya kita ada butang SOS. Jika pengguna ada masalah di lebuh raya, maklumat kecemasan itu akan dikongsikan terus kepada konsesi lebuh raya.
“Aplikasi ini sudah tersedia. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pengguna yang sudah memuat turun TuJu, kini melebihi 700,000 sejak semalam, dan kami sedang meningkatkan lagi perkhidmatan, terutama dari segi fungsi navigasi itu,” katanya.
Jelas Ridzuan, versi kedua aplikasi itu menawarkan ciri baharu seperti maklumat lokasi pengecasan kenderaan elektrik, tempat menarik setempat serta fungsi menyimpan destinasi pilihan yang kerap digunakan.
Selain itu, ia dilengkapi fungsi mengesan lokasi kenderaan yang diparkir bagi membantu pengguna mencari kenderaan mereka, terutama di kawasan tempat letak kereta yang luas.
Menurutnya, TuJu versi kedua sudah dilancarkan untuk pengguna Android, manakala versi iOS dijangka tersedia pada penghujung bulan ini selepas proses pengujian selesai.
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Apakah perbezaan utama antara Waze dan Google Maps dari segi bidang kuasa undang-undang?
A: Waze terikat kepada undang-undang Israel kerana masih berpangkalan di Israel, manakala Google Maps tertakluk kepada undang-undang Amerika Syarikat kerana berpangkalan di California. - Q: Apakah kebimbangan berkaitan keselamatan data pengguna pada aplikasi navigasi seperti Google Maps?
A: Terdapat kebimbangan bahawa Google Maps turut mengumpul data lokasi, namun Google tertakluk kepada akauntabiliti sebagai entiti komersial dan sebarang pelanggaran kepercayaan pengguna boleh menjejaskan perniagaannya. - Q: Apakah ciri utama yang ditawarkan oleh aplikasi navigasi tempatan TuJu?
A: TuJu menawarkan ciri seperti butang SOS untuk kecemasan di lebuh raya, maklumat lokasi pengecasan kenderaan elektrik, tempat menarik setempat, fungsi menyimpan destinasi pilihan, dan mengesan lokasi kenderaan yang diparkir. - Q: Berapakah jumlah muat turun aplikasi TuJu sejak Rabu?
A: Aplikasi TuJu telah mencatatkan lebih 700,000 muat turun sejak Rabu. - Q: Bilakah versi iOS aplikasi TuJu dijangka tersedia kepada pengguna?
A: Versi iOS aplikasi TuJu dijangka tersedia pada penghujung bulan ini selepas proses pengujian selesai.