Ringkasan AI
- Parti Amanah Negara menyasarkan bertanding di 32 kerusi Parlimen pada PRU16, dengan fokus utama kepada 18 kerusi.
- Perancangan kerusi dan persiapan telah dibincangkan dalam Pemukiman Pilihan Raya Amanah, dengan rundingan bersama rakan Pakatan Harapan akan dilakukan.
- Amanah Perak menyasarkan bertanding di 19 kerusi DUN, manakala DAP dan PKR masing-masing di 19 dan 20 kerusi pada PRU16.
IPOH: Parti Amanah Negara (Amanah) menyasarkan untuk bertanding di 32 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 sebagai langkah memperkukuh kedudukan parti dalam landskap politik negara.
Pengarah Strategi Nasional Amanah, Ahmad Sabki Yusof, berkata daripada jumlah itu, mereka memberi fokus kepada 18 kerusi Parlimen.
Menurutnya, sasaran dan fokus berkenaan dicapai dalam Pemukiman Pilihan Raya Amanah yang diadakan September lalu.
“Kita telah membincangkan persiapan Amanah untuk menghadapi PRU16 yang kita jangkakan pada tahun hadapan, dan kita telah menentukan kerusi-kerusi untuk kita rundingi dengan rakan-rakan Pakatan Harapan (PH).
“Kita kena rundingkan dulu, dan pada kerusi-kerusi yang kita nak rundingi itu kita juga telah tetapkan kerusi-kerusi yang menjadi fokus untuk kita menang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Amanah Perak di Casuarina Meru di sini, hari ini.
Beliau berkata, Amanah telah merencana gerak kerja di seluruh dan di setiap kerusi yang disasarkan.
Bagaimanapun, jelasnya, pada peringkat ini Amanah hanya membuat perancangan dengan mengandaikan PH akan bergerak sebagai satu gabungan solo.
“Soal sama ada berlaku kerjasama dengan gabungan ataupun parti-parti lain di masa depan, itu bergantung pada perkembangan dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Menurut Sabki, di peringkat negeri pula, mereka mempunyai jawatankuasa masing-masing yang membuat perancangan dan menentukan kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi dan menangi.
“Saya percaya di peringkat negeri, kebanyakan daripada negeri sudah membuat persiapan itu,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Dr Ahmad Termizi Ramli berkata, berdasarkan keputusan PRU15, beliau yakin PH mampu memerintah Perak walaupun bertanding secara solo.
“DAP sudah ada 18 kerusi, PKR sudah ada 5, walau Amanah ada satu tapi di tempat kedua (kami) ada lagi empat dan PKR dah ada tiga.
“Itu cukup untuk memerintah Negeri Perak. Insya-Allah kita boleh menang dalam perkembangan kini yang sangat menyokong kita,” katanya.
Menurutnya, pada PRU16, Amanah Perak menyasarkan untuk bertanding 19 kerusi DUN, manakala DAP (19) dan PKR (20).
“Itu asas pertama, insya Allah parti-parti telah bersedia di tempat masing-masing, kita akan kekalkan parti sedia ada.
“Dalam PH tak ada masalah, kami bekerja rapat. Cuma mungkin ada satu dua kerusi yang kita nak tinggalkan kosong macam di Melaka, untuk bagi ruang kepada parti-parti lain supaya tak jadi musuh kita,” tambahnya.