AYER KEROH: PKR tidak akan mampu menjadi sebuah organisasi yang kuat sekiranya masih wujud budaya ‘parti dalam parti’ atau ‘dua nakhoda mengemudi satu kapal’.
Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menegaskan kepimpinan sesebuah parti tidak boleh dikendalikan oleh pelbagai hala tuju yang bertentangan sehingga merosakkan keutuhan sesebuah organisasi.
Jelas beliau, perjuangan PKR perlu dibebaskan daripada sebarang pengaruh kuasa yang berselindung di sebalik kuasa atau struktur kuasa yang cuba mengawal parti dari belakang tabir.
“Saya berdiri di atas pentas ini saya jalankan amanah saya selaku Timbalan Presiden yang mahukan masa depan KEADILAN yang bersih.
“Kita tidak mampu kuat sebagai sebuah organisasi kalau wujudnya 'parti dalam parti', dua nakhoda mengemudi satu kapal, ataupun adanya tangan ghaib dan struktur kuasa tersembunyi di sebalik kuasa yang zahir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Nurul Izzah meluahkan rasa bimbang sekiranya tenaga serta keupayaan anggota parti terus ‘dikerah’ untuk perebutan dan pertelingkahan dalaman.
Tegasnya, setiap saat yang digunakan untuk berbalah sesama sendiri merupakan kerugian besar kepada parti dalam usaha memenangi semula keyakinan rakyat.
“Setiap jam yang kita gunakan untuk berlawan dan bertelagah sesama sendiri adalah jam yang (perlu) kita gunakan untuk memenangi hati rakyat.
“Fokus kita sepatutnya disalurkan kepada agenda merakyatkan ekonomi, bersaing melakukan kebaikan, serta memastikan kemenangan dalam pilihan raya,” tambah beliau.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh saf kepimpinan dan anggota sayap Wanita serta AMK untuk mengembalikan semangat serta penyatuan demi mempertahankan nilai keadilan sebelum ia dapat ditawarkan kepada rakyat secara amnya.