Skip to main content

Politik

Perjanjian CSA: Tiada masalah dedah kandungan - PM Anwar

Anwar berkata perjanjian berkenaan tidak bersifat rahsia dan berpegang kepada prinsip sama seperti perjanjian yang dimeterai sebelum ini. - Foto Astro AWANI
Anwar berkata perjanjian berkenaan tidak bersifat rahsia dan berpegang kepada prinsip sama seperti perjanjian yang dimeterai sebelum ini. - Foto Astro AWANI

Ringkasan AI

  • Kerajaan bersedia mendedahkan kandungan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) yang ditandatangani 13 Ahli Parlimen pembangkang pada 31 Oktober lalu.
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan perjanjian itu tidak bersifat rahsia dan prinsipnya sama seperti perjanjian terdahulu.
  • CSA tersebut melibatkan sokongan 13 Ahli Parlimen pembangkang terhadap pentadbiran Kerajaan MADANI sehingga tamat penggal Parlimen semasa.
Advertisement

AYER KEROH: Kerajaan bersedia mendedahkan kandungan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) yang ditandatangani 13 Ahli Parlimen pembangkang pada 31 Oktober lepas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perjanjian berkenaan tidak bersifat rahsia dan berpegang kepada prinsip sama seperti perjanjian yang dimeterai sebelum ini.

Anwar menambah beliau akan menyampaikan perkara itu kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang bertanggungjawab mengendalikan urusan berkenaan pada mesyuarat Jemaah Menteri, esok.

Advertisement

“Dia (CSA) tidak rahsia. Dia prinsipnya sama seperti yang dulu. Saya tidak ada masalah.

“Esok mesyuarat Jemaah Menteri, saya akan sampaikan kepada Datuk Seri Fadillah dan saya tidak ada keberatan untuk mendedahkannya,” katanya ditemui selepas Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2026 di Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) Melaka, di sini pada Khamis.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan supaya kerajaan mendedahkan kandungan CSA, khususnya membabitkan jumlah peruntukan, kaedah penyaluran serta pelaksanaannya.

Hari ini, Takiyuddin dilapor berkata pendedahan itu penting bagi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban kerajaan, memandangkan 62 Ahli Parlimen pembangkang lain tidak menerima tawaran untuk menyertai perjanjian berkenaan.

Minggu lalu, kerajaan memeterai CSA dengan enam Ahli Parlimen mewakili Bersatu dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) serta enam Ahli Parlimen Bebas.

Menerusi perjanjian itu, kesemua 13 Ahli Parlimen berkenaan bersetuju menyokong pentadbiran Kerajaan MADANI sehingga tamat penggal Parlimen semasa, termasuk dalam undian penting.

Must Watch Video

Advertisement