MALIM JAYA: Usaha kurangkan banjir, naik taraf infrastruktur dan kemudahan sukan antara pencapaian yang diketengahkan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Allex Seah Shoo Chin berkata, perubahan yang dilaksanakan sepanjang hampir dua penggal itu turut melibatkan penambahbaikan sistem trafik dan pembangunan kawasan perniagaan.
Menurutnya, antara pencapaian terbesar ialah mengurangkan kejadian banjir besar selepas punca aliran air tersekat di Sungai Malim berjaya dikenal pasti.
"Saya tak boleh kata 100 peratus dah kita selesaikan, tetapi (masalah) telah berkurang banyak. Kerana dulu ada satu punca yang kita tak dapat kesan. Sekarang telah dikesan," katanya ketika diwawancara Astro AWANI di Pusat Khidmat DUN Kesidang, di sini, semalam.
Beliau yang merupakan Setiausaha DAP Melaka menjelaskan, sebuah tembok dengan bukaan kecil di tengah-tengah Sungai Malim sebelum ini menghalang aliran air dari kawasan hulu, termasuk Alor Gajah dan Durian Tunggal, menuju ke Klebang.
Selepas struktur berkenaan dirobohkan, kejadian banjir besar berpanjangan semakin berkurangan sejak tiga tahun kebelakangan ini, ujarnya.
Selain itu, Seah menyatakan lebih 15 gelanggang sukan termasuk untuk sepak takraw, futsal dan bola keranjang telah dibina atau dinaik taraf bagi menyediakan ruang riadah kepada golongan muda.
Katanya, penambahbaikan persimpangan utama di Malim Jaya yang sebelum ini menerima kira-kira 14,000 kenderaan pada waktu puncak turut membantu melancarkan trafik.
Beliau turut mengaitkan perkembangan kawasan komersial dengan kemasukan pelbagai perniagaan baharu yang membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Bagaimanapun, Seah mengakui beberapa isu masih memerlukan perhatian, khususnya sistem saliran di Kampung Limbongan, Lorong Pandan dan Bertam Perdana.
Menurutnya, cadangan menaik taraf sistem pam serta saliran di kawasan terbabit sudah dirancang dan memerlukan penyelarasan antara agensi berkaitan.
Seah yang mula mewakili Kesidang sejak 2018 dicalonkan semula oleh Pakatan Harapan (PH) untuk mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN kali ini.
Beliau dijangka berdepan calon Parti Wawasan Negara, Albert Kok Boon Chang, yang diumumkan Perikatan Nasional (PN) malam tadi.
Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dikemas kini sehingga 22 September lalu, DUN Kesidang mempunyai 54,910 pemilih berdaftar, merangkumi 54,343 pengundi biasa dan 567 anggota polis.
Daripada jumlah itu, 28,041 merupakan pengundi wanita manakala 26,869 lelaki.
SPR menetapkan 31 Oktober sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian berlangsung pada 14 November.