MALIM JAYA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh didakwa pernah memuji prestasi wakil rakyat daripada Pakatan Harapan (PH) ketika bersama dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan negeri itu.
Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Allex Seah Shoo Chin berkata, pengiktirafan itu turut melibatkan pelaksanaan program di bawah portfolio pembangunan usahawan yang pernah diterajuinya.
"Ketua Menteri dan Exco semua puji. Di bawah portfolio usahawan yang saya pegang, banyak pembaharuan dan perubahan dilakukan.
"Termasuk program yang melibatkan ribuan orang, Ketua Menteri sendiri puji. Dari sudut pentadbiran, urus tadbir dan prestasi, semuanya efisien dan tiada isu," katanya.
Bekas Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri itu berkata demikian ketika diwawancara Astro AWANI di Pusat Khidmat DUN Kesidang, di sini, semalam.
Untuk rekod, pada 17 Julai lalu, Ab Rauf turut dilaporkan mengakui pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka bersama PH sepanjang hampir tiga tahun berjalan dengan baik.
Dua hari sebelumnya, beliau turut merakamkan penghargaan terhadap sumbangan dan kerjasama wakil rakyat DAP dalam menjayakan dasar serta program pembangunan negeri.
Kenyataan itu menyusul selepas DAP menarik diri daripada pentadbiran negeri susulan pertikaian berhubung pindaan Perlembagaan Negeri Melaka bagi membolehkan pelantikan ADUN lantikan.
Sementara itu, mengulas kemungkinan kerjasama politik selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, Allex menyerahkan sebarang keputusan kepada kepimpinan PH.
"Di Melaka, kita perlu berusaha atas tiket Harapan. Perkara lain bukan dalam kawalan saya dan saya serahkan kepada pemimpin kita," katanya lagi.