Ringkasan AI
- Rundingan antara BN dan MCA mengenai pembahagian kerusi PRN Melaka menunjukkan perkembangan positif tanpa petunjuk MCA akan menarik diri.
- Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menyerahkan pengumuman keputusan lanjut kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
- Isu penolakan calon di DUN Durian Tunggal dan Pantai Kundor akan diselesaikan secara dalaman tanpa pertukaran calon yang telah diumumkan.
MELAKA: Rundingan antara Barisan Nasional (BN) dan MCA berhubung isu pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menunjukkan signal poitif tanpa sebarang petunjuk parti itu akan menarik diri daripada gelanggang pilihan raya berkenaan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuan bersama Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Menurutnya, perkembangan hasil pertemuan itu adalah positif, namun keputusan lanjut akan diumumkan sendiri oleh Ab Rauf yang diberi mandat berhubung perkara tersebut.
“Tidak timbul (isu MCA tarik diri) langsung. Positiflah, tak bergaduh, tetapi saya tidak dapat mengumumkannya sehingga Ketua Menteri Melaka yang telah saya beri mandat untuk mengumumkannya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program JELITA (Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement) Latihan Pecutan Intensif 12 Jam di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, hari ini.
Sebelum ini, MCA dilaporkan tidak berpuas hati dengan pengagihan kerusi BN pada PRN Melaka sehingga bertindak meninggalkan majlis pengenalan calon pada 24 Oktober lalu.
Mengulas dakwaan berhubung penolakan calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal dan Pantai Kundor, Ahmad Zahid berkata BN akan menyelesaikan perkara itu melalui rundingan dalaman.
Bagaimanapun, beliau tidak melihat penyelesaian tersebut akan membawa kepada pertukaran calon yang telah diumumkan.
“Saya tidak nampak ke arah itu (pertukaran calon). Kita akan lakukan langkah-langkah penyelesaian secara dalaman.
“Di mana-mana pilihan raya kecil atau pilihan raya negeri, apatah lagi pilihan raya umum, memang ada permasalahan yang begini, bukan hanya kepada Barisan Nasional sahaja, tetapi berlaku juga kepada parti-parti gabungan yang lain.
“Ini sesuatu yang lazim dan tidak ada sesuatu yang mustahil untuk kita cari jalan penyelesaian yang terbaik,” katanya.
BN sebelum ini menetapkan bertanding di 21 daripada 28 kerusi DUN Melaka pada PRN kali ini, manakala tujuh kerusi lagi diperuntukkan kepada Pas dan rakan strategiknya.