Skip to main content

Politik

[TERKINI] PRN Melaka: Mohamad Sabu yakin pengundi Bukit Katil pilih Adly lagi

Mohamad berkata, PH akan menumpukan gerak kerja di kawasan yang ditandingi gabungan itu sepanjang tempoh berkempen selama 14 hari. - Astro AWANI
Mohamad berkata, PH akan menumpukan gerak kerja di kawasan yang ditandingi gabungan itu sepanjang tempoh berkempen selama 14 hari. - Astro AWANI

Advertisement

Advertisement

BUKIT KATIL: Biarpun penyokong Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) hadir beramai-ramai pada hari penamaan calon, Pakatan Harapan (PH) tetap yakin pengundi Bukit Katil akan sekali lagi memberikan mandat kepada Adly Zahari.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keyakinan itu berdasarkan sambutan rakyat terhadap Adly yang sekali lagi dipertaruhkan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Menurutnya, kehadiran penyokong parti lawan dalam jumlah yang ramai bukan sesuatu yang mengejutkan, khususnya apabila Pas hanya bertanding di dua kerusi pada pilihan raya kali ini.

Advertisement

"Memang penyokong BN-PN begitu ramai. Bagi Pas, dia bertanding di dua kerusi di Melaka, jadi ramailah mereka di sini.

"Tapi dari segi sambutan rakyat, kami berkeyakinan Yang Berhormat Adly akan diundi kembali oleh penduduk di sini. Itu harapan kami," katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa proses penamaan calon DUN Bukit Katil di Dewan Tun Ali, di sini, pada Sabtu.

Mengulas persiapan kempen, Mohamad berkata, PH akan menumpukan gerak kerja di kawasan yang ditandingi gabungan itu sepanjang tempoh berkempen selama 14 hari.

"Insya-Allah, kita berkempen sebab kita pun bertanding tidak semua dan kita tumpu tempat yang kita bertanding di bawah Pakatan Harapan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohamad tidak menolak kemungkinan wujud kekeliruan dalam kalangan pengundi apabila BN dan PH yang bekerjasama di peringkat Kerajaan Persekutuan kini bersaing pada PRN Melaka.

Katanya, keadaan itu turut melibatkan soal pencapaian kerajaan yang boleh diketengahkan oleh kedua-dua gabungan sepanjang kempen pilihan raya.

"Memang sokongan rakyat agak sedikit keliru sebab BN pun dalam kerajaan, PH pun dalam kerajaan.

"Jadi memanglah kalau apa kejayaan yang disebut oleh BN, kejayaan kerajaan, kami pun sebut ialah kejayaan pihak kerajaan. Itu serahlah kepada pengundi untuk membuang undi," katanya.

Beliau turut memberi jaminan PH akan berusaha menjelaskan keadaan politik berkenaan kepada pengundi sepanjang tempoh kempen.

Sementara itu, Adly yang juga Timbalan Presiden Amanah dan Timbalan Menteri Pertahanan berdepan pertandingan empat penjuru bagi mempertahankan kerusi yang disandangnya.

Beliau dicabar Mohd Ridzuan Mohd Shariff daripada Pas yang mewakili PN, Aliza Che Amran daripada Parti Bersama serta calon Bebas, Abu Bakar Sabudin.

Pertandingan kali ini turut menyaksikan BN dan PN bekerjasama selepas kedua-dua gabungan mencapai persefahaman politik bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka ke-16.

 

 

Must Watch Video

Advertisement