MELAKA: Datuk Khaidirah Abu Zahar mengakui terkilan dengan tindakan parti lawan membuat laporan polis terhadapnya berhubung dakwaan penggunaan premis dan aset kerajaan untuk tujuan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim itu berkata, laporan berkenaan bukan sahaja melibatkan dirinya, malah turut memberi kesan kepada pihak lain termasuk penerima sumbangan daripada Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).
Menurutnya, tindakan itu secara tidak langsung menyukarkan urusan penerima bantuan yang terpaksa berdepan proses tertentu susulan laporan berkenaan.
“Saya terkilan dengan tindakan parti lawan kerana yang bertanding adalah kita berdua, janganlah dimasukkan sekali rakyat.
“Mereka menyusahkan rakyat yang mahu menerima sumbangan dengan niat yang baik. Akhirnya, mereka terpaksa berhadapan dengan satu proses yang mungkin nampak ringkas tetapi sebenarnya agak membebankan,” katanya ketika ditemui selepas Walkabout Taman Seri Merayong pada Selasa.
Mengulas lanjut, Khaidirah berkata, laporan polis itu tidak menjejaskan momentum kempennya secara peribadi, namun beliau lebih bimbang sekiranya tindakan berkenaan memberi kesan kepada masyarakat setempat.
“Secara peribadi, saya tidak rasa perkara ini menjejaskan momentum kempen. Saya akan teruskan kempen seperti biasa kerana fokus adalah untuk bertemu rakyat dan menyampaikan tawaran serta agenda kepada mereka.”
“Cuma apa yang lebih saya terkilan, apabila tindakan seperti ini mungkin memberi kesan kepada masyarakat, khususnya mereka yang menerima bantuan. Jangan sampai perkara yang berlaku ini menyusahkan rakyat atau menyebabkan mereka terpaksa melalui proses yang membebankan,” jelasnya.
Pada Isnin , Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menjelaskan, kehadiran Khaidirah di Kompleks Japerun Rim adalah bagi meninjau kawasan pengundian pos dan bukannya untuk berkempen menggunakan premis kerajaan.
Katanya, berdasarkan maklumat awal yang diterimanya, Khaidirah atau Dira hadir ke Kompleks Japerun Rim bagi melawat kawasan pengundian pos yang berlangsung.