MELAKA: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Farzana Hayani Mohd Nasir, menepis sekeras-kerasnya dakwaan sesetengah pihak yang menyifatkan beliau tidak mempunyai pengalaman politik untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Menyelar tanggapan itu, calon wanita termuda pada PRN Melaka itu menegaskan bahawa beliau memang tidak mempunyai pengalaman dalam perkara-perkara yang menyalahi undang-undang atau merugikan rakyat.
“Ada yang mengatakan saya tiada pengalaman. Tapi saya nak mengatakan, saya tiada pengalaman... pengalaman 'sakau', saya tak ada pengalaman yang itu.
“Tapi untuk bekerja, insya-Allah berilah peluang kepada anak muda, terutamanya wanita muda di kawasan Klebang ini,”katanya.
Mengulas berhubung persaingan sengit empat penjuru di DUN Klebang, Farzana turut menyifatkan pertembungan itu amat bermakna buat dirinya kerana ia merupakan kawasan tempat asal beliau dibesarkan iaitu di Bukit Rambai.
Beliau yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan Tangga Batu menambah, pengalaman bertanding di kerusi Sungai Rambai pada pilihan raya lalu sewaktu usianya baru mencecah 21 tahun dijadikan pengalaman serta ‘modal’ berharga untuk memastikan persediaan jentera kali ini jauh lebih teratur dan mantap.
"Kali ini kita lebih tersusun yang mana perjalanan semua tersusun, jadual tersusun, dan jentera semua lengkap. Walaupun cabaran itu ada berdepan calon yang lebih berpengalaman, kita akan kempen secara agresif dan bekerja lebih keras dalam tempoh 14 hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, Farzana menegaskan bahawa fokus utamanya adalah untuk membawa suara dan isu masyarakat setempat yang menuntut pembelaan segera.
Antara isu utama yang akan diberi keutamaan sepanjang tempoh kempen merangkumi kebajikan golongan nelayan di kawasan pesisir pantai yang kerap terjejas serta cabaran ibu dan wanita muda yang berkerjaya.
Selain itu, beliau turut memberi perhatian serius terhadap nasib anak muda di Klebang yang terpaksa berhijrah keluar untuk mencari peluang pekerjaan di luar negeri Melaka.
Sehubungan itu, beliau merayu supaya pengundi di DUN Klebang dapat memberi kepercayaan serta mandat baharu kepada calon muda dan wanita sepertinya bagi membuktikan keupayaan berkhidmat demi kemakmuran kawasan berkenaan.
Pada persaingan kali ini, Farzana atau mesra disapa Nana akan dicabar oleh Pengerusi MCA Melaka, Datuk Lim Ban Hong, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad (Bersatu) dan Young Jie Yu (Bersama).