Skip to main content

Dunia

Miura, 59, jadi penjaring tertua Piala Maharaja Jepun

Japan's soccer player Kazuyoshi Miura, 58, known as 'King Kazu', poses for a photograph during his first news conference after joining Fukushima United in the J-League third division in Tokyo, Japan January 9, 2026, in this photo taken by Kyodo. Mandatory credit Kyodo/via REUTER
Miura pada sesi sidang media pertamanya selepas menyertai Fukushima United dalam divisyen ketiga Liga-J di Tokyo, Jepun pada 9 Jan 2026. - Gambar fail/Kyodo/REUTERS
Advertisement

FUKUSHIMA (JEPUN): Bekas pemain antarabangsa Jepun Kazuyoshi Miura menyuarakan hasrat untuk beraksi pada pusingan seterusnya Piala Maharaja selepas menjadi penjaring tertua kejohanan itu pada usia 59 tahun, lima bulan dan 24 hari, lapor Kyodo News.

Miura yang digelar “King Kazu” menyempurnakan dua sepakan penalti ketika kelab divisyen tiga Liga-J, Fukushima United membelasah pasukan bukan profesional Oyama Soccer Club 7-0 pada Rabu.

“Jika saya tidak beraksi dalam perlawanan, saya tidak boleh menjaringkan gol. Saya akan terus bekerja keras setiap hari supaya dapat turun ke padang,” kata Miura selepas perlawanan pusingan pertama kejohanan kebangsaan itu di Fukushima, timur laut Jepun.

Miura menjaringkan gol yang memecahkan rekod itu pada minit ke-12, mengatasi rekod terdahulu yang dicatat bekas pemain tengah Jepun Shinji Ono, yang menjaringkan gol dalam kejohanan berkenaan pada usia 41 tahun pada 2021, menurut Persatuan Bola Sepak Jepun.

Miura menyempurnakan sepakan penalti keduanya pada minit ke-55 sebelum digantikan tiga minit kemudian.

“Saya sentiasa berlatih sepakan penalti, jadi saya gembira usaha itu membuahkan hasil,” katanya.

Miura yang berasal dari Wilayah Shizuoka merupakan antara tokoh penting dalam peningkatan populariti bola sepak Jepun susulan pelancaran Liga-J pada awal 1990-an.

Beliau menjadi pemain Jepun pertama beraksi dalam Serie A Itali bersama Genoa pada musim 1994-95 sebelum bermain untuk beberapa kelab di Jepun dan beberapa negara lain.

-- BERNAMA-KYODO

 

 

Must Watch Video

Advertisement