Skip to main content

Sukan

MotoGP: Kakitangan sementara disyaki jual pas palsu ditahan polis - SIC

Isu itu tular di media sosial semalam susulan dakwaan bahawa pas Perdana Suite palsu bagi perlumbaan MotoGP Malaysia dijual pada harga RM250 di pintu masuk litar. - Gambar hiasan/Bernama
Isu itu tular di media sosial semalam susulan dakwaan bahawa pas Perdana Suite palsu bagi perlumbaan MotoGP Malaysia dijual pada harga RM250 di pintu masuk litar. - Gambar hiasan/Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • Seorang kakitangan sementara ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam penjualan pas palsu MotoGP Malaysia 2026, menurut Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
  • SIC menegaskan pas acara tidak pernah diluluskan untuk dijual kepada orang awam dan hanya diperuntukkan kepada petugas yang diberi kuasa.
  • Orang ramai dinasihatkan membeli tiket MotoGP Malaysia hanya melalui laman rasmi SIC untuk mengelakkan penipuan pas palsu.
Advertisement

SEPANG: Seorang kakitangan sementara yang disyaki terbabit dalam penjualan pas palsu Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia 2026 ditahan polis semalam, menurut Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

SIC dalam kenyataan hari ini memaklumkan penahanan itu susulan siasatan dalaman dengan kerjasama polis, manakala tindakan undang-undang terhadap individu berkenaan, yang diambil bekerja sebagai kakitangan sementara khusus untuk acara itu, sedang berjalan.

“Bertentangan dengan khabar angin yang tersebar dalam talian, individu yang terlibat bukan Aqil. Suspek merupakan kakitangan sementara yang diambil bekerja khusus untuk acara ini,” menurut kenyataan itu.

Advertisement

Pengurusan litar itu memaklumkan pas berkenaan tidak pernah diluluskan untuk dikeluarkan atau dijual kerana pas acara hanya diperuntukkan kepada petugas acara yang diberi kuasa dan tidak ditawarkan kepada orang awam untuk pembelian.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membeli tiket atau pas daripada penjual di media sosial, ulat tiket atau sumber tidak rasmi lain bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan pas palsu.

Advertisement

SIC memaklumkan semua tiket bagi perlumbaan MotoGP Malaysia hanya boleh dibeli menerusi laman sesawang rasminya di www.sepangcircuit.com.

Isu itu tular di media sosial semalam susulan dakwaan bahawa pas Perdana Suite palsu bagi perlumbaan MotoGP Malaysia dijual pada harga RM250 di pintu masuk litar.

Beberapa hantaran di media sosial mendedahkan penipuan itu, dengan seorang pengguna mendakwa telah membeli “pas Perdana Suite” pada harga RM230 kerana menyangka tawaran itu sahih.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement