Skip to main content

Sukan

ONE Championship: Rifdean cabar Nadaka, buru gelaran dunia di Tokyo

Rifdean Masdor takes on ONE Atomweight Muay Thai World Champion Nadaka in Tokyo on October 17 -- FB ONE Championship
Petarung Muay Thai negara, Rifdean Masdor bakal berdepan ujian terbesar dalam kariernya apabila mencabar juara dunia ONE Atomweight Muay Thai, Nadaka Yoshinari pada acara ONE SAMURAI 4 di Ariake Arena, Tokyo, Jepun, 17 Oktober depan.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Petarung Muay Thai negara, Rifdean Masdor bakal berdepan ujian terbesar dalam kariernya apabila mencabar juara dunia ONE Atomweight Muay Thai, Nadaka Yoshinari pada acara ONE SAMURAI 4 di Ariake Arena, Tokyo, Jepun, 17 Oktober depan.

Pertembungan itu menyaksikan Rifdean, yang turut dikenali dengan julukan 'Magic Boy', merebut tali pinggang kejuaraan daripada Nadaka di hadapan penyokong jaguh tuan rumah sendiri.

Kemenangan bakal meletakkan nama petarung berusia 23 tahun itu dalam sejarah sebagai juara dunia ONE kedua dari Malaysia selepas Aliff Sor Dechapan, yang merangkul Kejuaraan Dunia Interim Muay Thai Strawweight bulan lalu.

Nadaka, 25, bakal mempertahankan kejuaraannya buat kali kedua dengan membawa rekod kemenangan luar biasa dalam 41 pertarungan berturut-turut.

Petarung 'southpaw' itu dikenali dengan kelajuan, ketepatan serangan serta keupayaan bertahan yang menjadikannya antara pengamal Muay Thai paling teknikal generasi ini.

Nadaka muncul juara sulung divisyen atomweight selepas menewaskan Numsurin Chor Ketwina menerusi keputusan sebulat suara pada ONE 173, November lalu, sebelum mempertahankan gelaran dengan kemenangan ke atas seteru lamanya, Songchainoi Kiatsongrit di ONE SAMURAI 1 pada April.

Bagi Rifdean pula, beliau hadir dengan reputasi sebagai antara pencabar paling berbahaya dalam divisyen itu.

Sepanjang beraksi di pentas ONE, jaguh Malaysia tersebut mencatat rekod tujuh kemenangan dan satu kekalahan, termasuk lima kemenangan berturut-turut serta kadar penyudah sebanyak 71 peratus.

Kemuncak kebangkitannya hadir pada Jun apabila dia menamatkan cabaran Javad Mozafari pada pusingan pertama, sekali gus meraih kontrak bernilai AS$100,000 untuk menyertai barisan utama ONE Championship.

Sejurus kemenangan itu, Rifdean secara terbuka menyatakan hasratnya untuk mencabar Nadaka dan membuktikan bahawa dirinya sudah bersedia bersaing dengan nama terbaik dalam divisyen atomweight.

Selain Nadaka-Rifdean, ONE SAMURAI 4 turut menampilkan aksi juara menentang juara antara pemegang gelaran flyweight kickboxing, Superlek Kiatmoo9 dan raja strawweight, Jonathan Di Bella.

Jonathan Haggerty juga dijadual mempertahankan Kejuaraan Dunia ONE Bantamweight Kickboxing menentang bekas juara, Hiroki Akimoto, manakala legenda Jepun, Takeru Segawa akan dilantik ke dalam ONE Championship 'Hall of Fame' pada malam sama.
 

Must Watch Video

Advertisement