LONDON: Tottenham Hotspur meraikan kemenangan bersejarah 2-0 ke atas seteru London, Chelsea, apabila kejayaan di Stamford Bridge itu dianggap sebagai titik perubahan penting dalam kempen mereka musim ini.
Kemenangan tersebut merupakan hanya yang kedua buat Spurs di gelanggang Chelsea sejak 1990, sekali gus menamatkan rekod hambar mereka yang menyaksikan hanya satu kemenangan dalam 41 kunjungan ke Stamford Bridge dalam semua pertandingan.
Anak buah Roberto De Zerbi sebelum ini berada di tangga tercorot Liga Perdana Inggeris, namun kebangkitan bermula dengan kemenangan 3-1 ke atas Coventry City pada Isnin lalu sebelum menewaskan Chelsea pada Sabtu.
Keputusan itu melonjakkan Tottenham ke tangga ke-12 liga sementara menunggu baki perlawanan hujung minggu.
Sorakan penyokong Spurs bergema sejurus wisel penamat ditiup, seolah-olah meraikan kejuaraan, manakala pemain-pemain mereka dilaporkan terus menyambut kemenangan di bilik persalinan.
"Saya fikir kami sudah bermain baik, bukan hanya hari ini," kata De Zerbi kepada BBC Radio.
"Mungkin sekarang suasananya berbeza. Hubungan sesama pemain semakin kukuh. Dengan dua kemenangan berturut-turut ini, mereka semakin yakin terhadap kemampuan sendiri."
Jurulatih dari Itali itu turut mengakui pasukannya telah melalui tempoh yang sukar sebelum ini.
"Kami sudah cukup menderita," katanya.
Chelsea sebenarnya hampir berjaya mengheret perlawanan ke keputusan seri tanpa jaringan sebelum nasib memihak kepada Spurs apabila penjaga gol The Blues, Mike Penders, yang membuat penampilan sulung penuh dalam Liga Perdana Inggeris, tertampan bola ke gawang sendiri hasil sepakan penjuru Matheus Fernandes.
Mathys Tel kemudian memastikan tiga mata milik Spurs menerusi jaringan serangan balas 10 minit kemudian.
"Kemenangan ini sangat istimewa kerana kami sudah banyak kali datang ke Chelsea tanpa berjaya meraih kemenangan," kata penyerang Perancis itu kepada Sky Sports.
"Hari ini kami mempamerkan mentaliti yang hebat dan kami perlu menikmati kemenangan ini."
Nasib Chelsea bertambah malang apabila pemain tengah kreatif mereka, Cole Palmer, dilayangkan kad merah pertama dalam karier seniornya selepas menerima dua kad kuning dalam tempoh sembilan minit.
Sepanjang perlawanan, Spurs menguasai 70 peratus pegangan bola dan melepaskan 15 percubaan berbanding tujuh milik Chelsea.
Chelsea yang kekal di tangga keempat liga setakat ini gagal mempamerkan rentak terbaik dan turut merasai kehilangan penjaring utama, Joao Pedro, yang mengalami kecederaan ketika latihan pada Jumaat dan bakal menjalani pemeriksaan lanjut dalam beberapa hari akan datang.
"Kami perlu lebih mengkritik diri sendiri. Kami perlu berada pada tahap yang lebih baik," kata pengendali Chelsea, Xabi Alonso.
"Kadangkala anda berasa baik, tetapi hari ini secara kolektif dan individu kami tidak berada pada prestasi terbaik."
Mengulas kad merah Palmer, Alonso berkata, beliau mahu melihat tahap kawalan diri yang lebih tinggi dalam kalangan pemainnya.
"Dalam situasi seperti itu, kad kuning pertama boleh menjadi penentu," katanya.
"Ia sebahagian daripada proses kematangan pasukan dan juga pemain secara individu." - Agensi