Skip to main content

Sukan

Stadium Sultan Ibrahim venue final Piala FA 2026/2027 - MFL

Menurut MFL, pemilihan SSI dibuat dengan mengambil kira beberapa faktor penting bagi memastikan kelancaran penganjuran final Piala FA musim ini. - Foto: Media Digital Johor
Menurut MFL, pemilihan SSI dibuat dengan mengambil kira beberapa faktor penting bagi memastikan kelancaran penganjuran final Piala FA musim ini. - Foto: Media Digital Johor
Advertisement

KUALA LUMPUR: Stadium rasmi Johor Darul Ta'zim (JDT), Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Iskandar Puteri dipilih sebagai venue perlawanan akhir Piala FA 2026/2027 yang akan berlangsung pada 16 Jan depan.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan tersebut dicapai hasil Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL Ketiga Bagi Penggal 2025-2029 semalam, selepas Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini tidak dapat digunakan kerana kerja menaik taraf padang, trek balapan dan fasiliti  sebagai persediaan menghadapi temasya Sukan SEA 2027 yang dijangka siap Mei depan.

Menurut MFL, pemilihan SSI dibuat dengan mengambil kira beberapa faktor penting bagi memastikan kelancaran penganjuran final Piala FA musim ini, termasuk keadaan permukaan padang, pengurusan logistik, kemudahan penginapan pasukan serta fasiliti stadium merangkumi pentas utama, suite korporat, akses ke stadium, aspek keselamatan serta operasi produksi siaran langsung.

Advertisement

"Dengan berkapasiti 35,109 penonton serta fasiliti lengkap dan terbaik menjadikan SSI adalah venue pilihan selepas penutupan Stadium Nasional bagi acara sukan ketika ini.

"Malah reputasi SSI sebagai venue bertaraf antarabangsa juga menjadi antara faktor pemilihan ini apabila stadium itu pernah menganjurkan perlawanan melibatkan Harimau Malaya, antaranya ketika menentang Palestin bagi aksi persahabatan tier 1 pada 8 Sept 2025 dan aksi Kelayakan Piala Asia 2027 bertemu Nepal pada 25 Mac 2025,” menurut kenyataan itu.

Advertisement

Untuk rekod, SSI juga pernah menjadi venue perlawanan akhir Piala FA 2023 yang menyaksikan JDT menewaskan Kuala Lumpur City FC dengan keputusan 2-0.

MFL pada masa sama berharap pemilihan SSI sebagai gelanggang perlawanan akhir dapat memberikan pengalaman terbaik kepada kedua-dua pasukan dan penyokong yang akan hadir menyaksikan aksi kemuncak Piala FA itu nanti.

Hanya empat pasukan yang tinggal meneruskan perjuangan mereka dalam Piala FA musim ini iaitu JDT, DPMM FC, Selangor FC dan Kuching City FC.

Aksi pertama separuh akhir Piala FA bulan lepas menyaksikan DPMM FC tumpas 0-2 kepada JDT di  Stadium Nasional Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, Brunei, manakala Selangor menang tipis 2-1 ke atas Kuching City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, bulan lepas.

JDT akan melayan kunjungan DPMM FC di SSI, manakala Kuching City akan berdepan Selangor di Stadium Taha Ariffin, Kuching dalam aksi timbal balik Ahad ini.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement