Ringkasan AI
- Terengganu Football Club Sdn Bhd akan mengeluarkan surat peringatan kepada barisan kejurulatihan Terengganu FC susulan prestasi kurang memberangsangkan musim ini.
- Surat peringatan akan dihantar sebelum perlawanan Liga Super menentang DPMM FC pada 20 November, selepas kekalahan kepada DPMM FC dan Johor Darul Ta'zim.
- TFCSB menegaskan tanggungjawab prestasi kelab turut dipikul pengurusan dan menyeru penyokong terus memberi sokongan kepada pasukan dalam tempoh mencabar ini.
KUALA NERUS: Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) akan mengeluarkan surat peringatan kepada barisan kejurulatihan Terengganu FC (TFC) susulan prestasi kurang memberangsangkan, pada permulaan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
TFCSB dalam kenyataan hari ini berkata surat peringatan tersebut, akan dihantar sebelum perlawanan Liga Super bertemu DPMM FC, pada 20 Nov ini.
Menurut kenyataan itu pihak pengurusan telah mengadakan “bedah siasat” bersama dengan Jawatankuasa Teknikal dan Pemilihan TFCSB selepas kekalahan kepada DPMM FC dalam saingan Piala FA serta perlawanan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT).
“Tempoh rehat kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini turut dimanfaatkan bagi memperkemas persiapan pasukan, namun Terengganu FC tetap gagal memperoleh keputusan positif apabila tewas kepada JDT dan Sabah FC.
“Pihak pengurusan TFCSB memandang serius situasi ini dan mengakui bahawa pencapaian semasa belum mencapai tahap yang diharapkan kelab, penyokong, rakan penaja serta seluruh warga Terengganu,” katanya.
TFCSB berkata sebagai sebuah kelab yang membawa nama Terengganu, setiap keputusan di atas padang bukan sekadar berkaitan keputusan perlawanan, tetapi turut melibatkan maruah, harapan dan kepercayaan penyokong.
Bagaimanapun pada masa sama, pihaknya mengakui tanggungjawab terhadap hala tuju kelab bukan hanya terletak pada pemain dan barisan kejurulatihan, sebaliknya bahagian pengurusan perlu memastikan struktur, perancangan, sumber serta sokongan kepada pasukan sentiasa ditingkatkan.
“TFCSB menghargai segala teguran dan pandangan penyokong, serta menyifatkan kritikan yang diberikan sebagai tanda keprihatinan dan rasa memiliki terhadap kelab.
“Oleh itu kami berharap supaya penyokong terus memberi sokongan kepada pemain dan pasukan ketika melalui tempoh mencabar, selain memberi jaminan akan terus memantau perkembangan serta mengambil langkah sewajarnya bagi mengembalikan prestasi Terengganu FC,” katanya.
-- BERNAMA